Khamis, 24 Disember 2015

Gadis Piano

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Baru-baru ini (sejujurnya, tahun lalu :3), saya berasa agak bosan. Bagi mengisi masa itu, saya curi-curi masuk ke dalam bilik kakak saya dan mencari buku menarik yang disimpan oleh kakak saya dalam raknya. Selepas lama memilih, saya terpesona dengan sebuah buku berkulit hijau yang berjudul Gadis Piano hasil karya Riha. J.

Gadis Piano
(Riha. J)

Deeya dan piano ibarat irama dan lagu, tidak dapat dipisahkan. Piano mengingatkan Deeya memori bermain piano bersama bapanya sewaktu kecil. Deeya menyertai pertandingan piano di sekolahnya dan pada pertandingan itu Deeya bertemu sahabat piano baharunya, Ezudin. Namun, Deeya disobotaj dalam pertandingan itu. Siapa yang mensabotaj Deeya? Mengapa? Deeya tiada musuh!
 
Deeya dan kakaknya, Nili ditimpa musibah semasa bercuti di kampung. Musibah itu mengubah keseluruhan hidup Deeya dan kecintaannya terhadap piano.
 
Deeya berhijrah ke Kanada dan beroleh semangat yang membara, Deeya kembali ke Kuala Lumpur.
 
Soalnya, bersediakah Deeya mengalunkan irama di hujung jari-jemarinya semula?


Sejujurnya, saya amat menyukai jalan cerita dan gaya penulisan yang diterapkan dalam buku ini selepas saya membacanya. Novel ini memang agak sedih dan mampu mengalirkan setiap pasang mata yang membacanya. Saya juga telah meminjamkan buku ini kepada dua orang kawan saya dan memang tidak dapat dinafikan lagi, novel ini memang menyayat hati sesiapa sahaja. Bahasanya juga berbunga-bunga lantas menambahkan lagi minat setiap pembaca untuk meneruskan sesi pembacaan.

Dalam buku ini juga telah mengajar erti kasih sayang dan persahabatan antara kawan dan keluarga. Walaupun pada awalnya ada pahitnya, namun begitu, pada akhirnya, insya-Allah kedukaan akan berganti menjadi kegirangan tahap maksimum. Sebenarnya, saya agak kagum dengan semangat watak utama buku ini iaitu Deeya kerana ketabahannya walaupun ditimpa pelbagai musibah sepanjang cerita ini. Walau bagaimanapun, hidup Deeya bagaikan disinari lampu pada penamatnya. Alhamdulillah!

Apapun, saya mahu mengajak setiap pembaca entri ini untuk membeli buku ini. Marilah kita bersama-sama membeli buku ini kerana penulis ini baru sahaja berusia 13 tahun ketika novel ini diterbitkan! Memang hebat, bukan? Jadi, marilah sokong karya penulis ini. Insya-Allah, masih ada di pasaran walaupun sudah lama diterbitkan. Jikalau tiada, bolehlah beli dalam talian. Semoga diketemukan dengan buku ini. ;)

Salam piano,



2 ulasan:

  1. Saya dah baca dah. Baru baca cuti tahun ini. Selalu juga nampak di rak buku di kedai, tapi tak berminat. Sekarang baru baca. Kesian Nili...Kesian juga Diya yang kena marah dengan lelaki yang bernama....Entah dah lupa dah. Kesian Diya banyak betul cabarannya. Hmm....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul itu! Kasihan kepada kedua-dua adik-beradik itu. :'(

      Padam