Ahad, 5 Julai 2015

Ain Maisarah

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Kepada ulat-ulat buku sekalian, pasti sekali ruangan rumah kamu dipenuhi semata-mata dengan objek dan barangan dikenali sebagai buku. Memang tidak sah jikalau bergelar seorang ulat buku tetapi satu buku pun tidak dimiliki. Itu bukan namanya ulat buku, itu ulat penipu namanya! :3

Dalam negara kita bahkan dunia, terdapat pelbagai jenis kategori buku (contohnya, majalah, eksilopedia, surat khabar, buku cerita dan novel). Dan dalam setiap kategori itu, terdapat pelbagai jenis genre (misalnya, kanak-kanak, remaja dan dewasa). Dalam setiap genre, terdapat pelbagai kisah (umpama, pengembaraan fantasi, cinta, alam persekolahan atau pekerjaan, sejarah, misteri dan seram).

Apa-apapun, pernahkah mendengar nama Ain Maisarah sepanjang perkenalan dengan buku? Jangan tertukar, ya. Ain Maisarah merupakan nama penulis buku, bukannya nama syarikat penerbitan buku pula. Bukan juga nama kedai-kedai buku ataupun kilang pencetakan buku.


Buat pengetahuan semua, Ain Maisarah merupakan seorang novelis yang telah menempah nama di persada dunia penulisan Malaysia ini. Beliau menulis untuk buku berkategorikan novel bergenre remaja dan menjadi penulis sepenuh masa di syarikat penerbitan PTS Media Group.


Buku pertama beliau yang telah mencetuskan kerjayanya ialah berjudul Aku Mahu Popular yang diterbitkan pada tahun 2006. Sehingga kini, buku ini masih diulang cetak hingga berpuluh kali dan telah dikemas kini pada tahun 2012.

Aku Mahu... Ain Maisarah merupakan kompilasi novel best seller beliau iaitu Aku Mahu Popular, Aku Mahu Saiz S dan Aku Mahu Teman Tapi Mesra. Boleh dapatkannya hanya di seluruh cawangan Popular di Malaysia dengan harga RM35.90, lebih menjumatkan RM12.10 berbanding membeli novel-novel tersebut secara satu per satu.

Buat masa ini, Ain Maisarah telah menulis sebanyak 66 buah buku. Kebanyakan daripada buku-buku tersebut telah menjadi best seller dalam carta jualan buku PTS dan menjadi kegemaran kanak-kanak dan remaja di seluruh Malaysia atas kreativiti dan penulisan santai yang ditampilkan olehnya melalui buku-buku tulisan beliau, sehingga tiga buah buku beliau telah dikompilasikan dalam sebuah buku. Wah, hebatnya!

Logo Sekolah Sri Bangsar

Selain itu, semua buku-buku hasil mandi keringat Ain Maisarah merupakan karya-karya bersiri yang pelbagai. Misalnya, siri-siri terawal beliau iaitu Aku Mahu dan Impiana. Walaupun berlainan siri, kisah setiap siri itu tetap mempunyai persamaan dari segi latar tempat asal iaitu Sekolah Sri Bangsar.

Setelah lama berkhidmat sepenuh masa bersama PTS, Ain Maisarah telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan syarikat penerbitan buku sendiri yang dikenali sebagai Blink Book Sdn. Bhd. (anak syarikat PTS) bermula tanggal Februari 2011. Kini, buku-buku lama beliau terbitan PTS One dan PTS Syok telah dikemas kini dari segi kulit buku serta kaedah penulisan agar sinonim dengan buku-buku lain untuk dijadikan di bawah syarikat penerbitan beliau.

Sebaik sahaja penubuhan syarikat beliau sendiri, pelbagai aktiviti yang telah dilakukan beliau.

Aku Mahu Jadi The Wannababes
(bersama Haziq Ridzuan)

Antaranya, Ain Maisarah telah mencuba untuk berkolaboratif bersama penulis-penulis lain yang dikenali sebagai penulis Blink dalam proses penghasilan buku-buku. Sehingga sekarang, penulis Blink telah berjumlah seramai 18 orang dan 2 orang daripadanya merupakan seorang pembaca tegar buku Ain Maisarah sejak di bangku sekolah. Biodata-biodata ringkas mereka boleh diketahui di sini.

Running Star: Pencarian Bintang Terhebat
(bersama Rashiela Nurain & Ain Lavendra)

Selain itu, Ain Maisarah telah mencipta pembaharuan dalam bidangnya. Selain menulis bagi siri novel semata-mata, beliau telah menulis bagi siri nomik. Sekarang, beliau telah menulis untuk 3 nomik bersiri bersama penulis dan pelukis berbakat yang lain.


Di samping itu, 2 buah buku tulisan Ain Maisarah telah pun diterjemahkan ke bahasa antarabangsa. Buku tersebut ialah Aku Mahu Ke New York 1 dan Aku Mahu Ke New York 2, tetapi akan dikenali sebagai I Wanna Go To New York. Untuk buku ini dan buku terjemahan beliau akan datang, Ain Maisarah akan menukar nama penanya sebagai A.M. Sarah. Fakta tambahan, buku I Wanna Go To New York akan menjadi buku pertama dalam siri I Wanna.

Aku Mahu Super Bibik

Aku Mahu Ke New York 1 & Aku Mahu Ke New York 2

Seterusnya, setakat ini, tiga buah buku hasil karya Ain Maisarah telah diadaptasikan ke bentuk telefilem yang telah ditayangkan di saluran Astro Ceria dan Astro Maya HD. Buku tersebut ialah Aku Mahu Superbibik (bersama Izanor Sharif), Aku Mahu Ke New York 1 dan Aku Mahu Ke New York 2. Insya-Allah, pada masa akan datang, lebih banyak lagi buku usaha penat lelah beliau akan diadaptasikan dalam bentuk drama, animasi kartun, telefilem atau filem.

Akhir sekali, pelbagai acara luar yang telah dianjurkan oleh Ain Maisarah. Misalnya, Seminar Novelistar Remaja dan Program Jelajah Sekolah Blink. Dalam program-program berikut, Ain Maisarah dan penulis-penulis Blink yang lain akan memberi ceramah penulisan. Jika mahu menjemput penulis-penulis tersebut hadir ke sekolah, sila minta kebenaran daripada pihak sekolah dahulu. Setelah mendapat kebenaran, bolehlah minta mana-mana guru mengisi butiran yang diminta di sini.

Apa-apapun, kepada yang mahu mengetahui lebih lagi tentang Ain Maisarah, boleh kunjungi laman Facebook rasmi beliau di sini atau blog rasmi beliau iaitu di sini. Jika berminat untuk membeli buku-buku yang ditulisnya, bolehlah membelinya di mana-mana cawangan kedai buku seluruh Malaysia ataupun secara talian di sini. ;)

Salam tokoh penulisan,



Tiada ulasan:

Catat Ulasan