Sabtu, 24 September 2016

Pertemuan Kali Ketiga

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Dalam penghujung bulan lalu, tatkala saya sedang melayari Facebook, muncul satu notifikasi yang telah mengubah air muka saya serta-merta. Senyuman mula terukir, hati sudah berbunga, mata pula berbintang-bintang kalah bunga api pada tahun baharu! >_<

Penyebab kegembiraan saya! >_<

Sebagai seorang pembaca buku, mustahillah saya tidak gembira apabila dihadiahkan peluang untuk bertemu bersama penulis kegemaran. Hanya ulat buku yang memahami dan dapat menghayati! Kepada yang lain, mohon tertanya-tanya sahajalah tahap keterujaan saya. :p

Namun begitu, ceria hanya seketika apabila mengenangkan waktu sesi itu akan bertindih dengan waktu kelas tuisyen saya, iaitu pada pukul lima petang! Tidak mungkinlah saya hendak ponteng, semata-mata untuk bertemu penulis. Impian lawan ilmu? Manakah yang akan diutamakan? >_<

Disebabkan keliru, maka terciptalah pelan yang disusun kemas dan rapi. Menurut pelan, saya akan berusaha menjadi pengunjung pertama sesi itu. Selepas tamat beramah mesra, saya akan terus bergegas ke kelas tuisyen. Jika segalanya berjalan lancar, saya mungkin hanya akan terlambat dalam sepuluh minit sahaja. Jangan risau, pelan saya ini telah mendapat persetujuan daripada ibu bapa saya sendiri! Terharu apabila adanya ahli keluarga yang menyokong minat. :')

Dipendekkan cerita dan kesimpulannya, segalanya tidak berjalan lancar! Terdapat sesi pengenalan diri oleh penulis dan saya tidak dapat menempatkan diri sebagai pengunjung pertama. Oleh sebab itu, banyak masa saya telah diculik begitu sahaja. Nasib baiklah guru kelas tuisyen saya tidak memarahi walaupun terlambat selama empat puluh lima minit, memandangkan saya sudah pun memberitahu beliau. Hehe, nanti tidaklah datang dengan tersengih-sengih dan tergagap-gagap memberikan alasan. :3

Siapa sangka, ini sudah masuk kali ketiga saya bertemu dengan Kak Shiela. Dalam tahun ini sahaja! (boleh rujuk di sini dan sini) :p

Apapun, terima kasih, Kak Shiela, kerana sudi melayan saya, biarpun sudah bersua muka dalam masa kurang dua minggu yang lalu. ^_^

Harapnya nanti pertemuan kita yang keempat, Kak Shiela sudah pun keluarkan buku yang keenam dan seterusnya. Ini kerana, saya sudah kebuntuan bahan untuk minta Kak Shiela tandatangani nanti! :3

Apapun, di atas ini gambar pertemuan saya dengan penulis yang bernama Rashiela Nurain ini. Semoga ada lagi rezeki pertemuan antara kita, insya-Allah. ;)

Salam jodoh pertemuan,



Tiada ulasan:

Catat Ulasan