Jumaat, 25 November 2016

Pengalaman: Persekolahan 2016

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Seperti semua sedia maklum, hari ini bermulanya cuti persekolahan penggal akhir bagi tahun 2016 buat negeri-negeri tertentu, sebaliknya, negeri-negeri lain akan mula bercuti pada hari esok. So, happy holiday, guys! Ke manakah cuti sekolah kali ini? Buat apa agak-agaknya? Bersama siapa, ya? Hoho, harapnya dapat merangsang minda dan mencekapkan fizikal, yakni aktiviti berfaedah. ;)

Sebenarnya, saya agak lega kerana sudah setahun saya mengharungi saat suka duka di alam persekolahan menengah! Huh, agak susah juga! Maklumlah, segalanya berubah 360 darjah, buatkan saya pening hendak menurutinya. Mujur tidak berpinar biji mata! :p

Banyak yang hendak saya ceritakan tentang apa yang saya lalui, apa yang saya belajar, apa yang saya suka, dan apa yang buat saya meluat. Maklumlah, terlampau banyak perkara yang saya lakukan pada tahun ini, sampai tidak sempat mengemas kini kesemuanya di blog. Jadi, saya rasa di entri inilah, saya akan khabarkan segalanya. ;)

Ha, untuk menyenangkan tugas saya (dan pembaca semua), saya akan nyatakannya berserta gambar bukti! Barulah seronok sedikit membaca. Rasa kemas, begitu! :3

Baru-baru ini (sebenarnya, sudah lama :p), kelas saya, 1 Ibnu Taimiah  telah dijemput oleh guru kaunseling (yang dupanggil umi) untuk menyambut hari lahir kakitangan sekolah! Sebenarnya, sambutan itu berlangsung pada hari yang sama dengan program Minggu Bahasa (lihat entri ini). Jadi, terdapat beberapa orang pelajar yang terpaksa mengecualikan diri dek gilirannya untuk berpersembahan belum tiba lagi. Walaupun tidak dapat meraikan hari lahir kakitangan kesayangan, mereka tetap berpuas hati kerana berjaya meraih kemenangan dalam persembahan yang dipertunjukkan. :)

Pengetua cemerlang SMKA Falahiah (yang kami sapanya sebagai walid) akan bersara tidak lama lagi, pada hari lahirnya dalam bulan Disember nanti. Pada hari Ahad yang lalu, telah diadakan majlis pesaraan beliau. Beliau ialah pengetua terbaik dalam legenda SMKA Falahiah. Beliaulah yang mengklusterkan sekolah ini, dan juga SMKA Wataniah di Machang. Jasa beliau wajarlah dikenang. Sesungguhnya, agak sebak dan haru keadaan dalam majlis itu. Berat sekali hendak melepaskan walid gemilang, tetapi usia tidak membenarkannya. :'(

Sedikit lagi gambar pesaraan walid. Hey, look! That was me. :p

Penghujung tahun semakin mendekati. Jadi, aktiviti paling wajib tentulah jamuan akhir tahun! 1 Ibnu Taimiah feast, here I come! ^_^
Selepas kenyang memenuhkan perut dengan juadah yang berkolesterol tinggi (selepas ini, kena dietlah nampaknya :3), inilah masanya untuk bergambar kenangan. Hehe, bersama guru kelas (juga guru Matematik, serta Pendidikan Sivik dan Kewarganeraan), guru Geografi dan guru Information and Communications Technology Literature (ICTL). Geng-geng lelaki yang berkuantiti enam orang pun jangan dilupa! :)

Ha, ini kompilasi gambar jamuan akhir tahun! Senyuman gembira memekar, maklumlah, hari ini sahaja dibenarkan membawa telefon! Ya, PK HEM memberikan kebenaran. :p

Pejam celik, pejam celik, semalam ialah hari terakhir persekolahan bagi sesi 2016. Huhu, agak terkilan kerana tidak sempat bergambar rasmi bersama warga 1 Ibnu Taimiah (kerana ramai yang sibuk). Jadi, gambar kami berdua yang menggedik ini sahajalah dapat dipotretkan. :p

Gambar pertama dan terakhir bersama Ain Hananni. Dia akan berpindah ke SMKA Lati pada tahun hadapan. Jadi, semua pun berebut hendak bergambar bersamanya. Saya tidak berebut, sebaliknya, dia yang hendak bergambar dengan saya. Oh, well. :p

Okey, sudah tamat gambar-gambar perkara-perkara yang saya lalui. Seterusnya, gambar-gambar kenangan pula. Hehe, mohon setia membaca entri ini, ya. :3

Ha, inilah satu-satunya gambar warga 1 Ibnu Taimiah 2016 yang sempurna kedudukannya! Cuma, belum lagi lengkap ahlinya, kerana ketiadaan Siti Zaleha (gadis yang sudah berpindah tetapi datang kembali!), Aina Sofea (gadis periang yang mudah mesra, hari pertama lagi sudah bising!) dan Nadia Farhana (gadis Terengganu yang suka subjek Bahasa Inggeris). Huhu, insya-Allah, tahun hadapan, sekiranya masih sekelas, kita bergambar rasmi bersama-sama, ya? :)

Okey, ini kenangan paling dirindui! Inilah bahan-bahan pembentangan Sejarah kelas saya yang berjaya memperoleh johan (boleh rujuk entri ini). Alhamdulillah, saya dibenarkan menyimpan kesemuanya di rumah. Oh, kenangan. :')

Ini kek batik buatan Ain Hananni. Rasanya sedap! Terima kasih banyak-banyak. Jaga diri di sekolah baharu, ya. :D

Baju kelas 1 Ibnu Taimiah 2016! Berbulan-bulan untuk siapkan ini. Harganya pula, memang mahal! Lawa atau tidak? Katakan lawa, ya! :p

Lukisan oleh Izah, untuk hiasan kelas, Boleh tahan kacak juga saya dalam lukisan. Hoho, indah gambar daripada nyata. :3

Saya rasa, setakat ini sahajalah gambar-gambar yang dapat saya kongsikan. Saat hendak menaip entri ini, sebak pula dalam dada. Teringat rakan-rakan dan guru-guru, serta sekolah yang banyak berbakti kepada saya. Jika ada rezeki, kita jumpa lagi tahun hadapan, ya, semua? :')

Salam merindui sekolah,



Ahad, 16 Oktober 2016

Da'i Nasrul Ke Sekolah!

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Sebelum ini, sekolah saya pernah heboh (asyik heboh sahaja, sekolah gosip betul!) dek satu berita yang mengujakan. Sesiapa sahaja yang mendengar, pasti kagum dan terngaga bangga. Perasaan cinta akan sekolah juga akan tersemai saat terkenangkan perkara ini. >_<

Ini kerana, dikhabarkan bahawa bekas pelajar sekolah saya telah pun terpilih bagi mengikuti rancangan Da'i Pendakwah Nusantara musim ke-4! Siapa sahaja yang tidak bangga, nama sekolah sendiri diseru-seru setiap kali tayangannya. ;)

Namun begitu, maaf beribu kali maaf, rancangan ini sudah pun tamat siarannya! Pentas akhir sudah seminggu genap berlalu, keputusan juga sudah diketahui umum. Hehe, hanya saya sahaja yang baru hendak memberitahu tentang perkara ini! :p

Oh, lupa pula mahu beritahu! Namanya Muhammad Nasrul Nizam, ataupun lebih dikenali dengan nama komersial, Da'i Nasrul. Berusia 20 tahun (2016), dan telah mendapat pendidikan bagi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di SMKA Falahiah. Alhamdulillah, dan setinggi-tinggi tahniah buat beliau kerana mendapat tempat kedua dalam Da'i Pendakwah Nusantara musim ke-4! ^_^

Sebenarnya, baru sahaja tadi, Da'i Nasrul datang ke sekolah saya! Atas jemputan oleh pihak sekolah, beliau hadir bagi memberikan ceramah. Pihak sekolah sudah berbangga atas kejayaan beliau, beliau juga pasti berbesar hati untuk menerima pelawaan ini. Sebelum ini, dikenali sebagai pelajar lulusan STPM semata-mata, tetapi kini, seorang pendakwah dunia dan akhirat. :)

Yeah! Da'i Nasrul in Dewan Haji Wan Adam. :p

Subhanallah, ceramah daripada Da'i Nasrul sangat santai! Tidak terlampau tertekan dengan fakta yang perlu dihadam, Sudahlah senyum melebar lahirkan hati yang tenang, lawak dan jenaka juga tidak kering menjadi santapan semua. Walaupun topik utamanya adalah tentang bulan Muharam, beliau mahir 'memandu' semua hadirin untuk menghayati ucapan beliau, agar tiada yang mengantuk, apatah lagi tersengguk! Layaklah saya katakan beliau untuk mendapat tempat kedua, sesuai dengan cara penyampaian beliau yang sungguh memukau. :D

Sesungguhnya, selepas sahaja daripada ceramah ini, saya akan menghadapi satu temu duga bagi jawatan pengawas. Pada mulanya, debaran turut saya rasai, tetapi terus terlupa apabila menadah kisah-kisah lucu beliau, yakni Da'i Nasrul.

Gambar kenangan bersama selebriti akhirat! :3

Paling menakjubkan, saat hampir-hampir hendak memasuki bilik temu duga (yang sebenarnya bilik mesyuarat :3), muncullah insan yang sangat disegani, Da'i Nasrul. Kehadirannya melesapkan segala debar, segala gusar. Gugup juga mula kekeringan dan tidak berkuasa lagi. Apabila dapat bergambar, makinlah rasa macam, ah, kalah orang histeria! Hoho, teruknya saya! >_<

Sejujurnya, saya tidak pernah sekali pun menonton rancangan Da'i Pendakwah Nusantara ini, maka ini jugalah kali pertama saya mendengar suara beliau, menatap muka beliau dan mengenali personaliti beliau. Oh, ruginya! Kalau saya tahu, sedari awal lagi saya jadi peminat dan penyokong Da'i Nasrul nombor satu. Isy, sayang betul! Sekarang, hanya dapat jadi kuman dalam ribuan manusia yang pastinya lebih fanatik daripada saya. >_<

Apapun, memandangkan saya sudah pun selesai menjalani temu duga bagi jawatan pengawas, saya amat-amat mengharapkan saya masih ada peluang untuk mendapat jawatan ini. Walaupun pada hakikatnya, saya lebih berminat untuk bergelar seorang pustakawan, tetapi sekiranya ini yang terbaik, saya redakan sahaja. Semoga cikgu memilih saya, insya-Allah. ;)

Salam bakal pengawas,



Rabu, 12 Oktober 2016

Pertandingan: Pembentangan Sejarah

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Dalam penghujung bulan September, saya telah menerima kejutan yang sangat besar! Saya sendiri tidak akan menjangka bahawa saya telah terpilih untuk mewakili kelas dalam pertandingan pembentangan Sejarah! >_<

Sebelum ini, saya pernah kongsikan bahawa kumpulan pembentangan saya telah pun kecundang pada peringkat pertama lagi. Jadi, setiap ahli saya secara automatiknya tidak layak untuk mewakili kelas. Oleh sebab itu, saya terkesima dek arahan dan ajakan ini. :/

Sebenarnya, sudah terdapat lima orang rakan saya yang akan mewakili kelas, tetapi setelah perbincangan berkali-kali, mereka semua bersetuju untuk mengambil saya dan seorang lagi rakan saya (yang sepatutnya juga telah kecundang!), dengan alasan agar kami dapat menghiburkan semua. Itu menjadikan kumpulan pembentangan ini berjumlah tujuh orang, iaitu lima orang perempuan dan dua orang lelaki.

Namun begitu, permintaan guru Sejarah kami agak ketat. Hanya mahu memasukkan lima orang sahaja dalam pertandingan itu nanti! Jadi, berlakulah pertelagahan antara kami, menyebabkan masa yang ada hanya diselesaikan untuk memikirkan lima orang wakil kelas yang sebenar. Atas nasihat guru, kumpulan kami akan disertai tiga orang perempuan, dan dua orang lelaki, termasuk saya dan rakan saya. Sebenarnya, rasa bersalah terbeban berat pada bahu, memandangkan penambahan kami telah pun menyingkirkan dua orang yang lain. Namun begitu, kata mereka, mereka tidak kisah kerana sekurang-kurangnya, itu untuk kelas mereka juga. :')

Berbalik kepada kisah asal, untuk pertandingan ini, setiap kelas akan turut serta, iaitu sebanyak enam buah kelas, dengan tajuk dalam bab lapan, iaitu Kerajaan-kerajaan Melayu. Kelas saya telah mendapat kerajaan negeri Pahang, walaupun sebenarnya, mengharapkan negeri Terengganu akan jadi milik kami.

Setelah mendapat topik, maka tidak tidur malamlah kami semua kerana hendak mencari maklumat-maklumat tentang negeri Pahang yang terdapat dalam Internet. Banyak yang dapat kami kumpulkan, seperti pembentukan kerajaan ini, sistem perhubungannya, dan kesultanan Melayunya. Dapat saya simpulkan, negeri Pahang ini sangatlah istimewa dan unik, memandangkan sudah terbentuk semasa zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. ^_^

Setelah usaha pencarian dilakukan, maka kami mulalah mengagih-agihkan tugasan dan bahagian masing-masing. Saya telah mendapat tentang bendera negeri Pahang dan juga pembentukannya. Ha, sekarang, 'berperanglah' kami untuk menulis segala maklumat ini pada kertas putih yang bersaiz besar! Selain tulis, kenalah fahami dan ingat segala maklumat kerana akan diperbentangkan nanti!

Hampir setiap petang dan hari Sabtu dimanfaatkan untuk berlatih. Pada mulanya, agak segan kerana sebelum ini, kami bukanlah rapat sangat walaupun sekelas. Namun begitu, sekarang, sudah boleh bergurau dan bercanda sampai tidak sedar hari pertandingan makin mendekati. :3

Berikut ialah gambar dan video latihan kami:-

This is 1 Ibnu Taimiah presentation group! ^_^

Kompilasi gambar sahajalah yang dapat saya kongsikan memandangkan gambarnya terlampau banyak! :p

Video ini sangatlah eksklusif, kerana saya hanya kongsikan di blog saya sahaja! ^_^

Lagipun, video ini dirakam tanpa kami sedar! Jadi, segala yang berlaku dalam video ini bukanlah lakonan semata-mata. Saksikanlah! >_<

Pada hari pertandingan iaitu pada hari Ahad yang lepas, sudah tiada gelak tawa kedengaran, selain resah gelisah yang hadir menemani. Debaran juga makin kuat bermain sehingga kelam-kabut jadinya! Segala yang diingati seakan-akan telah lari daripada memori akibat terlampau rungsing. Walau bagaimanapun, segalanya tidak dapat diperbetulkan dan dielak sebaik nama kelas kami diumumkan untuk melakukan pembentangan. >_<

_______________________________________________________________________

Pada mulanya, sebaik kami memasuki dewan, langkah kami diiringi sorakan oleh warga 1 Ibnu Taimiah! Sorakan yang tidak pernah dirancang dan diketahui, amatlah mengejutkan! Kami yang benar-benar berdebar sangatlah menghargainya. Hilang terus segala gusar yang melanda jiwa. :')


Lirik lagu negeri Pahang.

Selepas itu, sementara kami menampal kertas-kertas kami, telah dibahagikan kertas-kertas berupa nota kepada semua hadirin, untuk memudahkan pemahaman mereka semua. Seterusnya, warga dewan diarahkan untuk berdiri bagi menyanyikan lagu negeri Pahang, iaitu Allah Selamatkan Sultan Kami. Muzik sudah ada (melalui telefon yang diseludup!), lirik juga sudah terkandung pada nota para hadirin. Hehe, agak terpinga-pinga setiap hadirin kerana manalah mereka semua pernah terniat untuk menyanyikan lagu negeri Pahang. :3


Peta negeri Pahang.

Setelah itu, pengenalan diri setiap ahli dan diikuti dengan penceritaan tentang latar geografi negeri Pahang. Pahang sangatlah luas dan merupakan negeri terluas di Semenanjung Malaysia dengan keluasan 35 964 km²! Pada asalnya, Kuantan bukanlah ibu negeri Pahang, sebaliknya ialah Pekan. Walaupun bandar Kuantan tidaklah luas, tetapi kedudukannya sangatlah strategik. Lantaran itu, Kuantan telah pun diiktiraf sebagai ibu negeri Pahang sehingga kini.


Rupa pokok mahang.

Seterusnya, disampaikan pula berkenaan asal-usul negeri Pahang. Jangan terkejut kerana Pahang pernah dikenali dengan pelbagai nama seperti Pong Fong, Fahan, Pura, Phang dan juga Pahangh (bukan kesilapan taip, ya)! Selain itu, dikaitkan juga nama Pahang diambil sempena nama pokok mahang yang tumbang merentasi Sungai Pahang di Kampung Kembahang.


Bendera negeri Pahang.

Selepas itu, tiba giliran saya untuk memberitahu tentang bendera negeri Pahang. Bendera negeri Pahang sangatlah ringkas, hanya mempunyai dua warna yang terdiri daripada warna putih dan juga hitam. Warna hitam melambangkan warna kebesaran bendahara, manakala warna putih ialah warna raja.



Jata negeri Pahang.

Sejurus selepas bendera, pasti sekali akan beralih tentang jata negeri ini pula. Kalau sesiapa perasan, terdapat kalimah Ya La Tif pada jata ini, yang bermaksud lemah-lembut. Ini merangkan bahawa sultan mentadbir negeri ini tanpa sebarang kekerasan.

Kemudian, tiba giliran saya kembali untuk membentangkan tentang pembentukan kerajaan negeri Pahang. Segalanya bermula apabila Raja Muhammad telah diusir dari bumi Melaka dan dirajakan di Pahang oleh ayahanda baginda, iaitu Sultan Mansor Shah. Ini ialah hukuman buat baginda kerana telah membunuh anak kepada Tun Perak, iaitu Tun Besar, semata-mata jatuhnya destar baginda.

Sebaik sahaja tamat, disambung pula tentang keistimewaan kerajaan negeri Pahang. Pahang telah mengeluarkan banyak hasil bumi seperti beras, kapur barus, kayu kapur, bijih timah dan juga gaharu. Setiap hasil bumi ini pula bernilai tinggi dan mampu mencecah ribuan ringgit!

Selepas itu, tibalah saat yang menerima paling banyak sambutan, iaitu penceritaan tentang Dato' Siti Nurhaliza yang merupakan anak kelahiran negeri Pahang! Selain itu, saya dan rakan saya turut mendendangkan lagu Seindah Biasa! 

Seterusnya, tamatlah pembentangan daripada kami dan diteruskan dengan sesi soalan. Antara hadiah yang ditawarkan ialah makanan ringan, pen dan juga  botol air. Soalan yang diajukan pula adalah sangat senang. Tidak rugi kalau hendak menjawab sekalipun!
_______________________________________________________________________

Setelah tamat pembentangan daripada kami, maka kamilah insan yang paling gembira saat itu! Kini, segala debaran sudah lesap dan dapatlah kami melihat pembentangan daripada kelas lain dengan aman dan bahagia! :p

Setiap pertandingan pasti mempunyai pemenangnya, bukan? Saya rasa, inilah saat paling gembira dalam hidup saya apabila kumpulan kami telah ditabalkan sebagai johan! Rakan sekumpulan saya siap menangis kerana terharu. Saya pula? Hanya mampu tersenyum dalam sebak yang sebenarnya hadir. Segala kesusahan kami kini terbalas!

Pada pagi tadi, kemenangan kami telah diumumkan saat perhimpunan pagi. Turut dihadiahkan sebuah hamper berisi makanan yang enak! Menyambut hamper itu, terdetik dalam hati kami untuk membahagikan sama rata kepada setiap warga kelas 1 Ibnu Taimiah yang gigih menyokong, walaupun tidak menyertai. Thanks, guys! ;)

Salam pembentangan Sejarah,


Khamis, 29 September 2016

Perpisahan: Guru Kaunseling

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Sebelum ini, sejurus selepas tamatnya cuti persekolahan penggal kedua, hadirlah dua orang insan yang telah pun meriuhkan sekolah. Semua sibuk memperkatakan tentang mereka, tidak sudah-sudah bercerita soal mereka, macam tiada topik lain yang hendak dipersembangkan! >_<

Merekalah guru praktikal bagi unit kaunseling. Seorang mesra dipanggil Cikgu Aiman, seorang lagi ramah disapa Cikgu Imtiaz. Kalau hendak tahu, kedua-dua mereka ialah bekas pelajar sekolah ini! Oleh sebab itulah, kedatangan mereka jadi buah mulut semua. (tambahan pula, khabarnya, Cikgu Aiman boleh tahan kacak)

Pada mulanya, ramai yang berharap kedua-dua guru ini akan mengajar kelas mereka nanti. Namun begitu, malang sekali, mereka hanyalah guru kaunseling! Jadi, mustahil sahajalah mereka akan datang ke kelas untuk mendidik para pelajar, sebaliknya, hanya terperuk di dalam bilik kaunseling. :p

Walau bagaimanapun, akan ada sesekali masa, mereka akan menggantikan kelas-kelas yang ketiadaan guru. Dari situlah, semua pelajar dapat mengenali mereka, sampai boleh jatuh tahap meluat! Hehe, maklumlah, mereka sering datang mengganti, sampai tidak terbilang saya untuk menghitung jumlah mereka hadir ke kelas saya! :3

Pejam celik, pejam celik, sekejap sahaja masa berlalu, dan hari ini ialah hari terakhir cikgu berdua. Tempoh berbulan-bulan yang sepatutnya dirasai, seumpama beberapa petik jari sahaja! :(

Pada hari terakhir mereka, saya hanya sempat untuk bertemu dengan Cikgu Imtiaz sahaja, manakala Cikgu Aiman pula lesap dan menghilang! Biarlah, wajah cikgu berserta usaha cikgu memaksa kami mmengisi borang untuk unit kaunseling, sentiasa terpahat dalam hati. :3

Berikut ialah gambar kenangan bersama Cikgu Imtiaz tadi:-

Senyuman Cikgu Imtiaz lawa. >_<

Jangan serius sangat! Nanti membujang sampai tua. :p

Apapun, akhir kata, saya mengharapkan cikgu-cikgu berdua dapat mencapai kerjaya idaman sebagai seorang kaunselor. Ha, nanti-nanti, datanglah kembali ke sini. Rindu cikgu! ^_^

Salam kaunseling,



Sabtu, 24 September 2016

Pertemuan Kali Ketiga

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Dalam penghujung bulan lalu, tatkala saya sedang melayari Facebook, muncul satu notifikasi yang telah mengubah air muka saya serta-merta. Senyuman mula terukir, hati sudah berbunga, mata pula berbintang-bintang kalah bunga api pada tahun baharu! >_<

Penyebab kegembiraan saya! >_<

Sebagai seorang pembaca buku, mustahillah saya tidak gembira apabila dihadiahkan peluang untuk bertemu bersama penulis kegemaran. Hanya ulat buku yang memahami dan dapat menghayati! Kepada yang lain, mohon tertanya-tanya sahajalah tahap keterujaan saya. :p

Namun begitu, ceria hanya seketika apabila mengenangkan waktu sesi itu akan bertindih dengan waktu kelas tuisyen saya, iaitu pada pukul lima petang! Tidak mungkinlah saya hendak ponteng, semata-mata untuk bertemu penulis. Impian lawan ilmu? Manakah yang akan diutamakan? >_<

Disebabkan keliru, maka terciptalah pelan yang disusun kemas dan rapi. Menurut pelan, saya akan berusaha menjadi pengunjung pertama sesi itu. Selepas tamat beramah mesra, saya akan terus bergegas ke kelas tuisyen. Jika segalanya berjalan lancar, saya mungkin hanya akan terlambat dalam sepuluh minit sahaja. Jangan risau, pelan saya ini telah mendapat persetujuan daripada ibu bapa saya sendiri! Terharu apabila adanya ahli keluarga yang menyokong minat. :')

Dipendekkan cerita dan kesimpulannya, segalanya tidak berjalan lancar! Terdapat sesi pengenalan diri oleh penulis dan saya tidak dapat menempatkan diri sebagai pengunjung pertama. Oleh sebab itu, banyak masa saya telah diculik begitu sahaja. Nasib baiklah guru kelas tuisyen saya tidak memarahi walaupun terlambat selama empat puluh lima minit, memandangkan saya sudah pun memberitahu beliau. Hehe, nanti tidaklah datang dengan tersengih-sengih dan tergagap-gagap memberikan alasan. :3

Siapa sangka, ini sudah masuk kali ketiga saya bertemu dengan Kak Shiela. Dalam tahun ini sahaja! (boleh rujuk di sini dan sini) :p

Apapun, terima kasih, Kak Shiela, kerana sudi melayan saya, biarpun sudah bersua muka dalam masa kurang dua minggu yang lalu. ^_^

Harapnya nanti pertemuan kita yang keempat, Kak Shiela sudah pun keluarkan buku yang keenam dan seterusnya. Ini kerana, saya sudah kebuntuan bahan untuk minta Kak Shiela tandatangani nanti! :3

Apapun, di atas ini gambar pertemuan saya dengan penulis yang bernama Rashiela Nurain ini. Semoga ada lagi rezeki pertemuan antara kita, insya-Allah. ;)

Salam jodoh pertemuan,