Juara Kampung Badak Berendam
Hari sukan sekolah baru bermula. Aisyah Sofia dan rakan-rakannya berlumba-lumba masuk acara yang dipertandingkan. Namun begitu, terdapat seorang kawan Aisyah Sofia yang hanya duduk mendiamkan diri. Mengapakah dia tidak mahu masuk bertanding? Mungkin dia ada sebabya sendiri. Mahu tahu siapa menang pertandingan lumba lari 100 meter? Aisyah Sofia ada jawapannya.
_____________________________________________________
Sayang Cikgu
Hari Ibu dan Hari Guru akan berlangsung tidak lama lagi. Geng Aa-Syik sibuk membuat persiapan untuk menyambutnya. Apakah yang bakal Aisyah Sofia hadiahkan untuk umi, nenek dan guru-gurunya? Mereka juga berlakon di sekolah. Apakah yang mereka lakonkan?
Nota: Buku Sayang Cikgu ini ditulis oleh Eisya Sufya, namun, idea asal adalah daripada Saridah Hamid dan Reja.
_____________________________________________________
Ponteng Puasa
Bulan puasa akan menjelang tidak lama lagi. Aisyah Sofia dan Geng Aa-Syik tidak sabar menunggu untuk berpuasa. Apabila tiba bulan Ramadan, Abu dan Ali didapati tidak berpuasa beberapa hari? Mengapa mereka tidak berpuasa. Pada suatu hari, Aisyah ternampak Abu makan di sebalik pokok. Manakala Ali pula tertangkap oleh gurunya kerana minum air di bilik air. Aisyah pula? Adakah Aisyah berjaya puasa sebulan pada bulan Ramadan kali ini atau dia juga ponteng puasa? Apakah persiapan Aisyah Sofia dan Geng Aa-Syik sempena menyambut hari raya nanti? Sama-samalah kita baca kesudahan cerita ini dalam buku Young Aisyah: Ponteng Puasa.
Nota: Buku Ponteng Puasa ini dilengkapi sekali dengan stiker-stiker doa yang boleh diamalkan ketika bulan Ramadhan dan Syawal.
_____________________________________________________
Cuti Sekolah
Cuti sekolah yang panjang baru sahaja bermula. Aisyah Sofia merancang mengadakan aktiviti. Dia mengajak kawan-kawannya turut serta. Antara aktiviti yang mereka rancang mahu lakukan adalah mengulang kaji pelajaran bersama, menolong keluarga membuat kerja rumah, dan pergi ke perpustakaan. Pengalaman menarik Geng Aa-Syik menangkap ikan dan berkebun di Kampung Pinang Sebatang.
Cuti sekolah kali ini paling mendebarkan bagi Ali dan Abu. Mereka berdua akan berkhatan. Adakah mereka melarikan diri daripada tok mudin?
_____________________________________________________
Summer Camp
Aisyah Sofia dan kawan-kawannya menyertai perkhemahan motivasi pelajar anjuran sekolah. Perkhemahan tersebut diadakan di sebuah kawasan perkhemahan dalam hutan. Pelbagai aktiviti yang menyeronokkan diadakan. Mereka perlu melakukan pelbagai aktiviti yang mencabar seperti meredah sungai, memasak, memanjat pokok, menyediakan khemah dan sebagainya. Mampukah mereka mengikuti program itu sehingga selesai?
_____________________________________________________
Operasi 3K
Baru-baru ini, suasana kelas Aisyah Sofia gempar apabila Arif tidak hadir ke kelas. Rupa-rupanya, kawan Aisyah Sofia itu sudah dimasukkan ke hospital kerana disyaki demam denggi.
Guru kelas Aisyah Sofia pula memperkatakan tentang kepentingan menjaga kebersihan diri dan rumah. Di rumah, ayah Aisyah sibuk membersihkan sekitar kawasan rumah. Apa yang berlaku di kampung Badak Berendam?
Melihatkan keadaan itu, Aisyah dan Geng Aa-Syik mengambil langkah melaksanakan opersi 3K. Operasi 3K? Kawan-kawan mahu ikut serta?
_____________________________________________________
Catatan Aktiviti Aisyah
Mari berkongsi aktiviti bersama Aisyah. Kawan-kawan pasti teruja membacanya. Pelbagai aktiviti menarik yang Aisyah catatkan dalam buku ini. Semoga kawan-kawan mendapat manfaat dan menjadikan buku catatan ini sebagai sahabat baik pada waktu lapang.
Nota: Buku Catatan Aktiviti Aisyah ini seratus peratus berwarna.
_____________________________________________________
Tabung Raya
Suatu hari, sekeping kertas dihantar ke rumah Aisyah. Dia yang baru balik dari sekolah ternampak kertas yang diselitkan di peti surat. Aisyah membaca kertas itu dan hatinya tertarik. Dia berazam menyimpan duit bagi mendapatkannya.
Selain menyimpan duit belanja sekolah yang diterimanya, Aisyah terfikir dia perlu melakukan sesuatu supaya tabungannya penuh dan dapat membeli basikal idamannya. Basikal itu mempunyai tempoh promosi sehingga hujung Syawal. Dia susah hati duit tabungannya masih tidak mencukupi.
Namun begitu, bagaimanakah cara Aisyah mendapatkannya?
Selain menyimpan duit belanja sekolah yang diterimanya, Aisyah terfikir dia perlu melakukan sesuatu supaya tabungannya penuh dan dapat membeli basikal idamannya. Basikal itu mempunyai tempoh promosi sehingga hujung Syawal. Dia susah hati duit tabungannya masih tidak mencukupi.
Namun begitu, bagaimanakah cara Aisyah mendapatkannya?
_____________________________________________________
Kawan Baru
“Nama Khalid Al-Walid seperti aku pernah dengar. Namun begitu, di manakah pula, ya?” Aisyah Sofia berkata dalam hatinya. Nama itu menarik perhatiannya. Dia berfikir sehingga berkerut-kerut dahinya, cuba mengingatkan sesuatu. Amirah perasan dengan sikap kawannya. Dia melihat muka kawannya berkerut seperti nenek tua makan sirih. Rasa geli hati pula.
Siapakah Khalid Al-Walid? Adakah kehadirannya menggugat persahabatan Aisyah, Amirah, Abu, dan Ali? Ikuti kesudahannya dalam buku ini.
_____________________________________________________
Hari Fesyen
“Umi, Aisyah belum baligh lagi. Lainlah dengan Kak Azie yang sudah baligh. Jadi, Aisyah belum wajib menutup aurat lagi, bukan?” tanya Aisyah Sofia. Dia baru berusia 10 tahun. Oleh itu, dia tidak faham mengapa dia juga perlu menutup aurat.
Puan Aminah merenung anaknya itu. Aisyah semakin bijak berfikir. Dia bersyukur kerana anaknya suka bertanya apabila tidak memahami sesuatu perkara.
“Ya, betul. Kamu belum belum baligh lagi. Tetapi, apa salahnya kamu mengamalkan apa yang disukai oleh Allah sejak kecil. Bak kata pepatah orang tua, 'alah bisa, tegal biasa'. Sekiranya kita sudah biasa menutup aurat, tidak susah untuk kita terus mengamalkannya sehingga tua. Kamu juga pasti tidak berasa kekok lagi menutup aurat. Sejak kecil lagi, kamu sudah mendapat pahala daripada Allah. Allah pasti suka, bukan?"
Aisyah Sofia mengangguk sambil tersenyum.
Nota: Buku Hari Fesyen ini seratus peratus berwarna dan saiznya lebih besar berbanding nomik Young Aisyah yang lain.
_____________________________________________________
Seronoknya Membaca
Aisyah Sofea seorang kanak-kanak yang bijak, tetapi tidak suka mengulang kaji pelajaran dan suka bermain. Dia suka bertanya, tetapi tidak suka membaca. Akibat tidak suka membaca, Aisyah bermimpi mendengar suara yang menyuruhnya rajin membaca. Suara itu berkata, “Hei budak yang bermata bundar! Kamu jangan asyik tidur sahaja. Bacalah buku sebelum buku itu dibacakan untuk kamu.’’ Sejak peristiwa itu, Aisyah mula menanam minat untuk membaca buku. Minat Aisyah semakin membuak-buak apabila ayahnya membawa Aisyah sekeluarga ke Pesta Buku Antarabangsa. Adakah minat Aisyah terhadap buku semakin bertambah?
_____________________________________________________
Sayang Umi
Aisyah Sofia sangat menyayangi uminya dan mereka berdua memang tidak dapat dipisahkan. Suatu hari apabila pulang dari sekolah, seperti biasa dia segera mahu mendapatkan uminya di rumah. Namun begitu, selepas puas mencari, dia tetap tidak menjumpai uminya. Aisyah Sofia menjadi takut. Adakah uminya diculik orang jahat ataupun makhluk asing? Apakah yang perlu dia lakukan? Dia tidak mahu tinggal sendirian.
Apakah sebenarnya yang terjadi kepada umi Aisyah Sofia? Bagaimanakah reaksi Aisyah Sofia apabila mengetahui hal yang sebenar?
_____________________________________________________
Sayang Ayah
Aisyah Sofia jarang berenggang dengan ayahnya. Apabila menerima berita ayahnya terpaksa bekerja di luar kawasan selama seminggu, dia berasa serba tidak kena. Aisyah Sofia terasa rindu. Apabila berkesempatan, Aisyah Sofia akan menelefon ayahnya untuk bertanya khabar, sekali gus dapat melepaskan kerinduan kepada ayahnya.
Tidak berapa lama lagi ialah hari lahir ayahnya. Umi Aisyah Sofia merancang mahu mengadakan majlis kesyukuran untuk ayahnya yang turut dinaikkan pangkat. Aisyah Sofia merancang mahu membuat kejutan bagi menggembirakan hati ayahnya.
Apakah kejutan itu? Apakah yang Aisyah Sofia lakukan bagi menunjukkan kasih sayang kepada ayahnya?
_____________________________________________________
Rombongan Sekolah
Murid-murid darjah 4 Anggerik terkejut apabila Cikgu Abdul Rahman mengumumkan bahawa sekolah akan mengadakan rombongan pada musim cuti akan datang. Masing-masing ada yang teruja dan ada juga yang bimbang.
Aisyah Sofia gembira, namun dia bimbang umi dan ayahnya tidak mengizinkan. Tambahan pula, dia tidak pernah mengikuti apa-apa rombongan sekolah dan berjauhan daripada keluarganya.
Semasa berada di tempat percutian, pelbagai kerenah dan gelagat kawan-kawan Aisyah Sofia yang mencuit hati.
Ke manakah Cikgu Rahman akan membawa mereka bercuti? Adakah mereka dapat mengikuti rombongan itu?
_____________________________________________________
Kepada yang berada di Semenanjung Malaysia dan mahu membeli buku-buku dalam siri ini, boleh membelinya di kedai-kedai buku berdekatan dengan harga RM12.50 (Kawan Baru, Seronoknya Membaca, Sayang Umi), RM13.50 (Buli, Juara Kampung Badak Berendam, Sayang Cikgu, Ponteng Puasa, Cuti Sekolah, Summer Camp, Operasi 3K, Tabung Raya, Rombongan Sekolah), RM14.50 (Sayang Ayah), RM15 (Pindah Rumah), RM19 (Catatan Aktiviti Aisyah) dan RM24 (Hari Fesyen).
Kepada yang berada di Sabah dan Sarawak serta mahu membeli buku-buku dalam siri ini, boleh membelinya di kedai-kedai buku berdekatan dengan harga RM14.50 (Kawan Baru, Seronoknya Membaca, Sayang Umi), RM15.50 (Buli, Juara Kampung Badak Berendam, Sayang Cikgu, Ponteng Puasa, Cuti Sekolah, Summer Camp, Operasi 3K, Tabung Raya, Rombongan Sekolah), RM16.50 (Sayang Ayah), RM17 (Pindah Rumah), RM21 (Catatan Aktiviti Aisyah) dan RM27 (Hari Fesyen).
Jika mahu lebih mudah, boleh membeli buku-buku tersebut melalui talian di sini.
Akhir sekali, kepada yang mahu membeli buku Pindah Rumah, Buli, Juara Kampung Badak Berendam dan Sayang Cikgu secara serentak di samping menjimatkan, boleh beli buku kompilasi keempat-empat buku tersebut yang berjudul Young Aisyah The Series dengan harga RM39.90 di seluruh cawangan Popular Bookstore di Malaysia atau di sini.
Jika mahu tahu juga, selain nomik Young Aisyah, siri ini juga terdapat siri komik yang tersendiri yang dilukis oleh pelukis nomik Young Aisyah itu sendiri iaitu Abang Reja. Buat masa ini, komik pertama untuk siri komik Young Aisyah yang berjudul Hari Kantin masih lagi dalam proses penerbitan. Namun begitu, jikalau komik pertama dan seterusnya sudah keluar di pasaran, sila dapatkan kesemuanya dengan harga RM9.90 (Semenanjung Malaysia) dan RM10.90 (Sabah dan Sarawak). ;)
Apa-apapun, selamat membeli dan membaca! ;)
Salam nomik,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan