Khamis, 8 Oktober 2015

Bola, Bola, Bola!

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Sejak tamat sahaja UPSR, pasti setiap sekolah mahu mengadakan pelbagai aktiviti. Ini bagi menghapuskan rasa bosan dalam hati para pelajar tahun 6. Bukankah sekarang mereka telah bebas daripada belajar? Jadi, tiada apa-apa hendak dibuat di sekolah. Mereka hanya mampu berada di dalam kelas sambil berbual-bual kosong, kemudian makan tatkala waktu rehat, kembali berbual-bual kosong di dalam kelas dan pulang ke rumah tanpa sebarang faedah.

Selain itu, perkara ini dilakukan agar kehadiran pelajar-pelajar tahun 6 masih terkawal tanpa tanda 'O' memenuhi ruang kehadiran pelajar. Maklum sahaja, tiada apa-apa lagi yang perlu dilakukan di sekolah, jadi mereka pun ponteng sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu dan lebih teruk tidak datang terus secara berturut-turut dalam seminggu. Aduhai, ini ialah perkara yang harus dielakkan! >_<

Oleh sebab itulah, di sekolah saya, perkara pertama yang dilakukan ialah aktiviti sukan seumpama bola sepak, bola baling dan bola jaring. Aktiviti ini amat menarik minat para pelajar kerana setahun suntuk mereka dilarang melibatkan diri secara aktif terlampau dalam aktiviti sukan bagi mengelakkan kemerosotan keputusan peperiksaan mereka. Namun begitu, apabila tamat sahaja UPSR, mereka kini bukan sahaja tidak dilarang bahkan diwajibkan untuk menyertai aktiviti sukan tersebut. Wah, menariknya!

Aktiviti sukan pertama yang dilakukan ialah bola sepak untuk lelaki dan bola jaring untuk perempuan. Pasukan-pasukan dibahagikan kepada 7 mengikut kelas masing-masing. Meskipun sekadar perlawanan biasa antara pelajar-pelajar tahun 6, terdapat wakil setiap kelas yang mahu membiayai baju jersi untuk setiap ahli mereka. Jadi, bukan main seronoklah semua pelajar apabila dapat menyarungkan jersi ala-ala pemain bola sepak terlatih, lebih-lebih lagi secara percuma sahaja. Hehehe. :3

Pada mulanya, ramai yang menyangka bahawa pasukan bola sepak kelas Bestari (kelas pertama) yang akan menjuarai. Namun begitu, siapa menyangka bahawa kelas Bestari bukan sahaja kalah bahkan kecundang awal. Ini mungkin kerana semangat yang terlampau membara yang dibawakan oleh pelajar-pelajar kelas lain. Mungkin mereka mahu membolot gelaran juara perlawanan itu. Maklumlah, kalau dalam bab akademik, nama mereka tidak akan dijulang, jadi, dalam bab kesukananlah mereka harus berusaha sehabis baik. Ya, itulah yang sepatutnya.

_____________________________________________________

Berikut merupakan antara gambar perlawanan bola sepak baru-baru ini.










_____________________________________________________

Sebaliknya pula yang berlaku kepada pasukan bola jaring kelas Bestari. Mereka telah mengambil iktibar daripada kekalahan pasukan bola sepak kelas mereka lalu bergigihan memasukkan bola ke dalam jaring. Atas kegigihan yang ditonjolkan, mereka telah dinobatkan juara pasukan bola jaring dalam kalangan tahun 6.

Selepas kedua-dua perlawanan bola sepak dan bola jaring melabuhkan tirai, perlawanan diteruskan pula dengan perlawanan bola baling untuk lelaki dan perempuan. Untuk bola baling, mereka dibahagikan mengikut kehendak guru. Tidak kiralah pelajar itu bermusuhan atau tidak, dikenali atau tidak, rapat atau tidak, cikgu tidak peduli akan hal itu. Para guru melakukan perkara ini bagi memupuk kerjasama antara pelajar. Cikgu tidak mahulah pelajar kelas pertama terlampau bongkak akan kebolehan yang dimiliki dan kelas terakhir terlampau malu serta merendah diri disebabkan kelemahan yang terdapat dalam diri. Jadi, terciptalah 8 kumpulan kesemuanya dengan pelajar-pelajar berlainan kelas dalam setiap kumpulan.

Namun begitu, siapa sangka, pelajar-pelajar yang berlainan kelas juga mampu bekerjasama. Malahan, terlampau rapat seakan-akan kawan baik (membuatkan kawan karib sejati pula yang dengki :3). Ya, itulah yang berjaya diperoleh atas inisiatif guru sekolah yang bijak memikirkan tentangnya. :)

Oleh sebab perlawanan bola baling masih lagi berlangsung sehingga kini, jadi juara masih lagi rahsia dan tidak diketahui oleh sesiapa selain-Nya. :D

Apapun, saya doakan agar calon UPKK (yang sudah mula menjawab ujian!), calon PT3 (minggu hadapan!), calon STPM (minggu hadapan!), calon STAM (minggu hadapan!) dan calon SPM (bulan hadapan!) dapat melakukan yang terbaik dalam ujian masing-masing. Semoga keputusan yang cemerlang akan menjadi milik anda. ;)

Salam bola,


Tiada ulasan:

Catat Ulasan