Sabtu, 31 Oktober 2015

Countries of The World

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Sebelum ini, ketika saya melayari Facebook, saya telah terbaca satu status yang mengajak pembaca status tersebut untuk bermain satu permainan yang agak menarik katanya. Oleh sebab ingin tahu (tambahan apabila si penulis status itu memberitahu bahawa permainan ini juga menguji minda kita), saya segera ke laman sesawang permainan tersebut untuk mula bermainnya.

Paparan permainan ini.

Kalau mahu tahu, nama permainan itu ialah Countries of The World. Benar katanya bahawa permainan ini akan menguji minda kita kerana kita diminta untuk menyenaraikan sebanyak mungkin negara yang kita tahu kerana inilah caranya permainan ini dimainkan dalam masa 15 minit sahaja. >_<

Jadi, tanpa lengah, saya segera menaip satu per satu negara yang saya ketahui di ruangan kosong yang diberikan. Bagi memudahkan kita, pencipta permainan ini telah menyediakan peta dunia sebagai petunjuk. Wah, bertambah mudahlah (kepada yang menghafal setiap lokasi negara dalam peta dunia sahaja)! :3

Setelah tamat 15 minit dalam kebuntuan, markah saya diberikan. Daripada 196 negara yang ada dalam dunia ini, saya hanya mampu meneka sebanyak 66 negara sahaja bersamaan 34 peratus. Aduhai, teruknya! Nampaknya, saya masih mentah lagi dalam pengetahuan am tentang negara du dunia ini. Masih perlu belajar lebih lagi nampaknya.

Oleh sebab tidak puas hati, saya berkali-kali mencuba bermain permainan ini buat kali kedua, ketiga, keempat dan kelima. Namun begitu, hasilnya lebih kurang itu sahaja. Ada yang bertambah satu ataupun dua, terdapat yang berkurangan sehingga melebihi sepuluh (teruknya), malahan yang terlampau meningkat sehingga berpuluh-puluh penambahannya ada juga (yang ini main tipu, rujuk glob). :3

Kepada yang mahu cuba untuk bermain permainan ini, marilah ke sini sambil mengisi masa yang kosong. Di samping itu, dapat juga terhibur dan menambah ilmu pengetahuan. Jika mahu, marilah bandingkan markah dengan markah saya. Kalau dapat melebihi 66, tahniah, ya! ;)

Walau bagaimanapun, semoga berjaya mengingati negara yang tiba-tiba hilang dari memori. :)

Salam negara,



Ahad, 25 Oktober 2015

Rombongan Lawatan

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Baru-baru ini, pihak sekolah telah pun menganjurkan Lawatan Ke Putrajaya untuk murid tahun 6 sempena program selepas UPSR. ^_^

Oleh sebab kuota pelajar hanyalah 80 orang sahaja, para pelajar berebut-rebut mengambil borang dan membayar dengan segera agar mereka dapat mengikuti lawatan yang hanya diadakan sekali setahun itu. Meskipun begitu, jumlah pelajar tahun 6 yang berminat untuk mengikuti lawatan tidak mencukupi 80 bahkan berpuluh-puluh lagi. Jadi, peluang lawatan ini dibuka kepada murid-murid tahun 4 (sepatutnya tahun 5 tetapi murid-murid tahun 5 perlu menduduki UPKK pada tarikh lawatan). Alhamdulillah, apabila ditambah dengan murid tahun 4, jumlah pelajar yang menyertai mencukupi 80 orang.


Jadi, selepas lama menanti, pada Rabu, 14 Oktober 2015, kesemua 80 orang pelajar berserta guru-guru pengiring berkumpul bersama-sama di sekolah. Setelah dipastikan setiap pelajar yang mengikuti rombongan hadir, para pelajar menaiki bas yang disediakan. Dalam masa beberapa minit selepas itu, dua bas yang membawa pelajar berserta guru pengiring bertolak ke Putrajaya dengan segera.


Dalam masa lebih kurang 8 jam, kami tiba di Putrajaya. Sebelum kami bertolak ke tempat kami menumpang untuk bermalam, kami singgah dahulu di Alamanda. Sebaik tiba di pintu hadapan Alamanda, kami dilepaskan secara berkumpulan oleh guru. Setelah dilepaskan, bukan main laju lagi para pelajar memasuki setiap kedai di situ. Maklum sahaja, hampir setiap kedai di situ tidak terdapat di Kelantan, misalnya, MPH Bookstore (huhu, kenapakah kedai buku ini tiada di Kelantan? :'( ).


Kemudian, setelah kami kembali berkumpul di luar Alamanda, kami bertolak ke Masjid Besi Putrajaya untuk menikmati makan malam. Setelah itu, kami menuju ke Kompleks Rakan Muda Kapar, di mana tempat kami akan tinggal selama di situ. Sebaik memilih bilik dan mengemas barang-barang, kami pun merebahkan badan ke atas katil untuk melelapkan mata meskipun agak sukar.


Keesokan harinya, setelah bersiap, kami bergerak ke Sunway Lagoon. Setelah dibenarkan masuk ke dalam, kami segera menukar pakaian dan mula bermandi-manda. Dalam masa sepuluh minit merendamkan diri, kami segera ke Extreme Park. Walaupun ada yang gentar untuk mencuba, saya dalam risau tetap mahu mencuba kerana bukan selalu dapat ke sana.

Setelah hampir seharian di sana, kami semua bertolak ke Berjaya Times Square. Sehingga malam kami berada di sana untuk membeli-belah (saya rasa, sekadar window shopping sahaja kerana bajet tidak mencukupi, lainlah kalau dibekalkan kad kredit :3). Ketika di sana, ada juga yang menonton filem di panggung (maklumlah, di Kelantan juga tiada panggung wayang :( ). Pada pukul 10 malam, kami keluar dari situ dan pulang ke Kompleks Rakan Muda Kapar.


Esoknya, sebelum kami pulang pada petangnya, kami ke Kota Damansara untuk masuk ke dalam KidZania. Oleh sebab ini kali pertama saya di situ, saya begitu teruja untuk mengumpul mata wang KidZania yang digelar sebagai KidZos dengan bekerja. Ada masa saya ke Electric Company bagi membaiki tiang elektrik yang rosak, ada waktu juga saya ke Honda untuk mereka hiasan kereta dan sesekali saya ke CSI untuk menyelesaikan kes. Paling saya suka, saya ke rumah hantu yang saya tidak sangka ada. ^_^

Setelah itu, kami bergerak ke Metrojaya dahulu sebelum bertolak pulang ke Kota Bharu, Kelantan. Dalam perjalanan pulang, kami semua singgah di Genting Sempah. Di sana, ramai pelajar yang membeli cenderamata buat keluarga dan rakan (kerana ramai yang terlupa hendak membelinya di lokasi-lokasi sebelum ini oleh sebab leka dan asyik besuka ria). Setelah itu, kami meneruskan perjalanan dan tiba di sekolah pada pukul 3 pagi.

Walaupun lawatan itu sudah lebih seminggu berlalu, perasaan gembira tetap saya dapat rasai sehingga kini. :D

Salam lawatan,



Sabtu, 17 Oktober 2015

Riadah Berilmiah

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Baru-baru ini, para pelajar lepasan UPSR begitu galak bermain di padang bagi mencapai gelaran juara. Oleh sebab aktiviti sukan bola sepak (telah tamat!), bola jaring (telah tamat!) dan bola baling (hmm... masih lagi berlangsung) yang akan diadakan pada pukul 8.15 pagi hingga 10.45 pagi setiap hari persekolahan (selain hari Ahad) hampir tamat, terdapat juga aktiviti lain yang diadakan oleh pihak sekolah. Sesekali, saya terasa seakan-akan kami, pelajar tahun 6 ini seperti pelajar istimewa yang disayangi semua guru pula (ceh!).

Aktiviti tersebut merupakan aktiviti yang memerlukan daya mental sebagai pembantu utama. Jika aktiviti sukan memerlukan fizikal yang tinggi, aktiviti kali ini sebaliknya pula. Ini kerana, aktiviti kali ini melibatkan aktiviti berpelajaran sambil bermain. Wah, menariknya!

Aktiviti ini akan berjadual pada pukul 11.15 pagi hingga 1.15 petang setiap hari persekolahan. Setiap pelajar wajib menyertainya tanpa sesiapa yang dikecualikan. Namun begitu, bagi memudahkan dan menceriakan lagi aktiviti ini, 5 kumpulan bagi setiap kelas dibuat. Seperti aktiviti sukan, aktiviti kali ini haruslah mempunyai sikap kerjasama bagi menjayakan aktiviti ini.

Pada setiap lima hari persekolahan, terdapat pelbagai aktiviti berpelajaran yang diadakan. Pada hari Ahad, aktiviti Bahasa Melayu akan berlangsung manakala pada hari Isnin, aktiviti Bahasa Inggeris yang akan dijalankan. Berlainan pula dengan hari Selasa iaitu aktiviti Matematik akan diadakan dan hari Rabu pula aktiviti melibatkan Sains akan dianjurkan. Pada hari Khamis pula, aktiviti berciri-ciri Pendidikan Agama Islam yang akan mengambil alih.

Setakat ini, kesemua aktiviti yang telah diadakan kesemuanya menarik. Berikut merupakan antara yang pernah dilakukan sejak minggu lepas hingga hari ini.

_____________________________________________________

Isnin (5 Oktober 2015)

Guru-guru panitia Bahasa Inggeris telah membahagikan kepada semua kumpulan dua helai kertas putih bersaiz besar yang telah tertampal tulisan 'ASTRONOMICAL' pada kertas pertama dan 'CHRYSANTHEMUM' pada kertas kedua. Sangka majoriti kumpulan kami, kami semua perlu memberitahu apa yang kami tahu tentang perkataan-perkataan itu. Jadi, pelajar-pelajar lelaki dan pelajar-pelajar perempuan kumpulan kami berebut untuk mengambil kertas mahjong yang tertampal 'CHRYSANTHEMUM' kerana itu lebih senang. Maklum sahaja, itukan bunga. Lainlah pula dengan perkataan 'ASTRONOMICAL' yang mempunyai makna perkara tentang angkasa lepas. Jadi, jika kamu semua perlu membuat pilihan antara dua perkataan ini, mana satukah yang kamu semua akan pilih? Kalau saya, saya sendiri pun mahu mengambil perkataan 'CHRYSANTHEMUM'. :3

Namun begitu, sangkaan majoriti adalah salah sama sekali. Yang sebenarnya, kami semua perlu mencipta perkataan baharu berdasarkan kedua-dua perkataan itu. Misalnya, perkataan 'cat' dapat dibina melalui perkataan-perkataan itu. Jadi, tugas kami hanyalah menyenaraikan sebanyak yang mampu perkataan-perkataan yang dapat dicipta sama ada dalam perkataan 'CHRYSANTHEMUM' atau 'ASTRONOMICAL'. Oleh sebab tugas ini boleh tahan senang, jadi kumpulan kami dengan bertolak ansur memberikan pelajar lelaki perkataan 'ASTRONOMICAL' manakala pelajar perempuan mengambil yang satu lagi.

_____________________________________________________

Selasa (6 Oktober 2015)

Guru-guru panitia Matematik menyerahkan sekeping kad manila kepada setiap kumpulan. Dengan menggunakan kad manila itu, kami semua perlu melakar sebuah jam di atasnya. Jam yang terkreatif akan dipilih sebagai pemenang. Jadi, kumpulan kami dengan menggunakan kad manila berserta barang hiasan yang dibawa dari rumah, bertungkus-lumus melukis-lukis bentuk jam yang disertai dengan jarum-jarumnya.

Setelah siap, kumpulan kami agak lega kerana sangka kami tidak akan sempat menyiapkannya kerana kumpulan kami yang kekeringan idea kreatif. Namun begitu, oleh sebab pemikiran ketua seni kumpulan kami, kami dapat juga menyiapkannya walaupun hasilnya kurang memberangsangkan jika dibandingkan dengan kumpulan lain yang lebih kreatif.

_____________________________________________________

Rabu (7 Oktober 2015)

Guru-guru panitia Sains pula meminta kami mencipta sebuah bangunan surat khabar yang paling tinggi tetapi paling stabil. Ini bagi menguji kepintaran pelajar dalam topik Sains tahun 6 iaitu kestabilan dan kekuatan. Jadi, dengan menggunakan empat helai surat khabar besar dan tanah liat yang dibenarkan untuk digunakan, kumpulan kami sedaya upaya mencipta bangunan. Agak sukar kerana bangunan kami asyik-asyik sahaja tidak mahu berdiri tegak dan sering sahaja mahu rebah menyembah Bumi.

Namun begitu, oleh sebab usaha yang kuat, kami dapat juga mencipta sebuah bangunan yang boleh juga tahan tinggi. Alhamdulillah, kumpulan kami berjaya melepasi ujian kipas angin tanpa tumbang. Walau bagaimanapun, oleh sebab kumpulan lain ada yang mencipta bangunan stabil yang lebih tinggi daripada yang kami buat, kami tidak dinobatkan sebagai pemenang. Biarpun begitu, kumpulan kami sama sekali tidak sedih atau kecewa kerana sekurang-kurangnya kami sudah mencuba.

_____________________________________________________

Khamis (8 Oktober 2015)

Guru-guru yang terdiri daripada para ustaz dan ustazah telah melancarkan program kuiz agama. Sebenarnya, ini bukan setakat kuiz, ini juga menguji keberanian pelajar kerana tidak semua berani menjawab kerana perasaan malu menguasai jiwa ketika hendak menjawab. Namun begitu, tidak semua jugalah yang malu, terdapat juga yang tampil berani ala-ala gentleman dan gentlewoman. :)

Walau bagaimanapun, tidak semestinya hanya pelajar yang berani akan hadir ke hadapan untuk menjawab, bahkan pelajar yang malu juga boleh dipaksa menjawab kerana pelajar-pelajar yang dikehendaki menjawab kuiz dipilih secara rawak berdasarkan senarai nama semua pelajar tahun 6. Jadi, bertambah-tambah dan berdarab-darablah debaran dalam hati pelajar tahun 6, meskipun soalannya sesenang kacang. Setelah tamat sesi kuiz, para pelajar tahun 6 berasa lega kerana sudah hilang debaran dalam jiwa mereka. Berasa lega juga kerana kesemua yang dipanggil berjaya menjawab dengan lancar soalan kuiz yang diberikan dari kelas pertama hinggalah kelas terakhir (meskipun ada yang langsung tidak menjawab, bukan kerana tidak tahu tetapi malu).

_____________________________________________________

Ahad (11 Oktober 2015)

Guru-guru panitia Bahasa Melayu memberikan kepada setiap kumpulan 10 helai kertas (5 kertas biru, 5 kertas putih, kedua-dua jenis kertas bersaiz A4). Berdasarkan surat khabar yang telah diminta dibawa pada minggu lalu, para pelajar perlu menggunting huruf-huruf yang terkandung dalam surat khabar itu untuk membina simpulan bahasa. Jadi, penatlah setiap pelajar tahun 6 mahu memikirkan simpulan bahasa yang pernah dipelajari dan juga perlu mencari huruf-huruf yang dikehendaki lalu mengguntingnya.

Sebenarnya, bukan itu sahaja, setelah menampal simpulan bahasa di atas kertas yang diberikan, para pelajar haruslah melukis gambar berdasarkan simpulan bahasa tersebut berserta menulis maknanya. Jadi, bertambahlah peningnya kepala murid tahun 6 semua. Biarpun begitu, kesemua kumpulan dapat juga menyiapkan tugasan meskipun hanya satu simpulan sahaja.

_____________________________________________________

Isnin (12 Oktober 2015)

Guru-guru panitia Bahasa Inggeris meminta para pelajar membeli seperlu mungkin kertas warna bagi mencipta lukisan 3 dimensi buatan sendiri. Dengan menjadikan lukisan bunga 3 dimensi yang madam buat sebagai contoh, kami pun mencipta lukisan bunga juga, cuma bunga yang kami buat ialah bunga matahari. Jadi, kami berusaha menggunting-gunting kertas warna bagi mencipta bunga matahari yang tercantik pada abad ini (perasan!).

Setelah siap hasilnya, memang boleh tahan juga cantiknya, tetapi tidak dapat melawan kegahan yang dibuat kumpulan lain yang mencipta lukisan bunga teratai 3 dimensi (siap ada katak lagi bermain-main di sekitarnya!). Apapun. yang penting, kumpulan kami telah membuat sebaik mungkin.

_____________________________________________________

Selasa (13 Oktober 2015)







Guru-guru panitia Matematik mengagih-agihkan sekeping kad manila dengan sehelai kertas putih bersaiz besar berserta sehelai kertas yang tertera 7 jenis bentuk yang berlainan saiz dan sehelai kertas yang menunjukkan contoh-contoh objek yang dapat dibina melalui bentuk tersebut. Dengan menggunakan kemahiran diri dan kekreatifan yang ada, kami semua perlu mencipta objek lain daripada yang tertera pada kertas dengan menggunakan 7 jenis bentuk tersebut. Membuatkan lebih sukar, bentuk-bentuk adalah terhad. Harus gunakan kesemuanya dan tidak boleh menggunakan lebih daripada itu. (Mungkin yang membaca entri ini tidak faham akan aktiviti ini kerana saya sendiri pun sukar untuk jelaskannya) >_<

Apabila masa tamat, kumpulan kami agak bersyukur kerana dapat juga mencipta 4 objek yang lain daripada yang lain (meskipun tidak menjadi sangat).

_____________________________________________________

Kalau mahu tahu, pelbagai lagi aktiviti yang akan diadakan selepas ini. Senang cerita, kesemua aktiviti yang sudah dan akan diadakan adalah menarik sekali. ^_^

Apapun, saya mahu tamatkan entri ini dengan ucapan merdeka kepada calon UPKK dan PT3 tahun ini (pasti seronok apabila peperiksaan penting sudah pun tamat, bukan?) manakala ucapan selamat berjaya kepada calon SPM, STPM dan STAM. ;)

Salam ilmiah,



Khamis, 8 Oktober 2015

Bola, Bola, Bola!

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Sejak tamat sahaja UPSR, pasti setiap sekolah mahu mengadakan pelbagai aktiviti. Ini bagi menghapuskan rasa bosan dalam hati para pelajar tahun 6. Bukankah sekarang mereka telah bebas daripada belajar? Jadi, tiada apa-apa hendak dibuat di sekolah. Mereka hanya mampu berada di dalam kelas sambil berbual-bual kosong, kemudian makan tatkala waktu rehat, kembali berbual-bual kosong di dalam kelas dan pulang ke rumah tanpa sebarang faedah.

Selain itu, perkara ini dilakukan agar kehadiran pelajar-pelajar tahun 6 masih terkawal tanpa tanda 'O' memenuhi ruang kehadiran pelajar. Maklum sahaja, tiada apa-apa lagi yang perlu dilakukan di sekolah, jadi mereka pun ponteng sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu dan lebih teruk tidak datang terus secara berturut-turut dalam seminggu. Aduhai, ini ialah perkara yang harus dielakkan! >_<

Oleh sebab itulah, di sekolah saya, perkara pertama yang dilakukan ialah aktiviti sukan seumpama bola sepak, bola baling dan bola jaring. Aktiviti ini amat menarik minat para pelajar kerana setahun suntuk mereka dilarang melibatkan diri secara aktif terlampau dalam aktiviti sukan bagi mengelakkan kemerosotan keputusan peperiksaan mereka. Namun begitu, apabila tamat sahaja UPSR, mereka kini bukan sahaja tidak dilarang bahkan diwajibkan untuk menyertai aktiviti sukan tersebut. Wah, menariknya!

Aktiviti sukan pertama yang dilakukan ialah bola sepak untuk lelaki dan bola jaring untuk perempuan. Pasukan-pasukan dibahagikan kepada 7 mengikut kelas masing-masing. Meskipun sekadar perlawanan biasa antara pelajar-pelajar tahun 6, terdapat wakil setiap kelas yang mahu membiayai baju jersi untuk setiap ahli mereka. Jadi, bukan main seronoklah semua pelajar apabila dapat menyarungkan jersi ala-ala pemain bola sepak terlatih, lebih-lebih lagi secara percuma sahaja. Hehehe. :3

Pada mulanya, ramai yang menyangka bahawa pasukan bola sepak kelas Bestari (kelas pertama) yang akan menjuarai. Namun begitu, siapa menyangka bahawa kelas Bestari bukan sahaja kalah bahkan kecundang awal. Ini mungkin kerana semangat yang terlampau membara yang dibawakan oleh pelajar-pelajar kelas lain. Mungkin mereka mahu membolot gelaran juara perlawanan itu. Maklumlah, kalau dalam bab akademik, nama mereka tidak akan dijulang, jadi, dalam bab kesukananlah mereka harus berusaha sehabis baik. Ya, itulah yang sepatutnya.

_____________________________________________________

Berikut merupakan antara gambar perlawanan bola sepak baru-baru ini.










_____________________________________________________

Sebaliknya pula yang berlaku kepada pasukan bola jaring kelas Bestari. Mereka telah mengambil iktibar daripada kekalahan pasukan bola sepak kelas mereka lalu bergigihan memasukkan bola ke dalam jaring. Atas kegigihan yang ditonjolkan, mereka telah dinobatkan juara pasukan bola jaring dalam kalangan tahun 6.

Selepas kedua-dua perlawanan bola sepak dan bola jaring melabuhkan tirai, perlawanan diteruskan pula dengan perlawanan bola baling untuk lelaki dan perempuan. Untuk bola baling, mereka dibahagikan mengikut kehendak guru. Tidak kiralah pelajar itu bermusuhan atau tidak, dikenali atau tidak, rapat atau tidak, cikgu tidak peduli akan hal itu. Para guru melakukan perkara ini bagi memupuk kerjasama antara pelajar. Cikgu tidak mahulah pelajar kelas pertama terlampau bongkak akan kebolehan yang dimiliki dan kelas terakhir terlampau malu serta merendah diri disebabkan kelemahan yang terdapat dalam diri. Jadi, terciptalah 8 kumpulan kesemuanya dengan pelajar-pelajar berlainan kelas dalam setiap kumpulan.

Namun begitu, siapa sangka, pelajar-pelajar yang berlainan kelas juga mampu bekerjasama. Malahan, terlampau rapat seakan-akan kawan baik (membuatkan kawan karib sejati pula yang dengki :3). Ya, itulah yang berjaya diperoleh atas inisiatif guru sekolah yang bijak memikirkan tentangnya. :)

Oleh sebab perlawanan bola baling masih lagi berlangsung sehingga kini, jadi juara masih lagi rahsia dan tidak diketahui oleh sesiapa selain-Nya. :D

Apapun, saya doakan agar calon UPKK (yang sudah mula menjawab ujian!), calon PT3 (minggu hadapan!), calon STPM (minggu hadapan!), calon STAM (minggu hadapan!) dan calon SPM (bulan hadapan!) dapat melakukan yang terbaik dalam ujian masing-masing. Semoga keputusan yang cemerlang akan menjadi milik anda. ;)

Salam bola,