Ahad, 25 Oktober 2015

Rombongan Lawatan

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Baru-baru ini, pihak sekolah telah pun menganjurkan Lawatan Ke Putrajaya untuk murid tahun 6 sempena program selepas UPSR. ^_^

Oleh sebab kuota pelajar hanyalah 80 orang sahaja, para pelajar berebut-rebut mengambil borang dan membayar dengan segera agar mereka dapat mengikuti lawatan yang hanya diadakan sekali setahun itu. Meskipun begitu, jumlah pelajar tahun 6 yang berminat untuk mengikuti lawatan tidak mencukupi 80 bahkan berpuluh-puluh lagi. Jadi, peluang lawatan ini dibuka kepada murid-murid tahun 4 (sepatutnya tahun 5 tetapi murid-murid tahun 5 perlu menduduki UPKK pada tarikh lawatan). Alhamdulillah, apabila ditambah dengan murid tahun 4, jumlah pelajar yang menyertai mencukupi 80 orang.


Jadi, selepas lama menanti, pada Rabu, 14 Oktober 2015, kesemua 80 orang pelajar berserta guru-guru pengiring berkumpul bersama-sama di sekolah. Setelah dipastikan setiap pelajar yang mengikuti rombongan hadir, para pelajar menaiki bas yang disediakan. Dalam masa beberapa minit selepas itu, dua bas yang membawa pelajar berserta guru pengiring bertolak ke Putrajaya dengan segera.


Dalam masa lebih kurang 8 jam, kami tiba di Putrajaya. Sebelum kami bertolak ke tempat kami menumpang untuk bermalam, kami singgah dahulu di Alamanda. Sebaik tiba di pintu hadapan Alamanda, kami dilepaskan secara berkumpulan oleh guru. Setelah dilepaskan, bukan main laju lagi para pelajar memasuki setiap kedai di situ. Maklum sahaja, hampir setiap kedai di situ tidak terdapat di Kelantan, misalnya, MPH Bookstore (huhu, kenapakah kedai buku ini tiada di Kelantan? :'( ).


Kemudian, setelah kami kembali berkumpul di luar Alamanda, kami bertolak ke Masjid Besi Putrajaya untuk menikmati makan malam. Setelah itu, kami menuju ke Kompleks Rakan Muda Kapar, di mana tempat kami akan tinggal selama di situ. Sebaik memilih bilik dan mengemas barang-barang, kami pun merebahkan badan ke atas katil untuk melelapkan mata meskipun agak sukar.


Keesokan harinya, setelah bersiap, kami bergerak ke Sunway Lagoon. Setelah dibenarkan masuk ke dalam, kami segera menukar pakaian dan mula bermandi-manda. Dalam masa sepuluh minit merendamkan diri, kami segera ke Extreme Park. Walaupun ada yang gentar untuk mencuba, saya dalam risau tetap mahu mencuba kerana bukan selalu dapat ke sana.

Setelah hampir seharian di sana, kami semua bertolak ke Berjaya Times Square. Sehingga malam kami berada di sana untuk membeli-belah (saya rasa, sekadar window shopping sahaja kerana bajet tidak mencukupi, lainlah kalau dibekalkan kad kredit :3). Ketika di sana, ada juga yang menonton filem di panggung (maklumlah, di Kelantan juga tiada panggung wayang :( ). Pada pukul 10 malam, kami keluar dari situ dan pulang ke Kompleks Rakan Muda Kapar.


Esoknya, sebelum kami pulang pada petangnya, kami ke Kota Damansara untuk masuk ke dalam KidZania. Oleh sebab ini kali pertama saya di situ, saya begitu teruja untuk mengumpul mata wang KidZania yang digelar sebagai KidZos dengan bekerja. Ada masa saya ke Electric Company bagi membaiki tiang elektrik yang rosak, ada waktu juga saya ke Honda untuk mereka hiasan kereta dan sesekali saya ke CSI untuk menyelesaikan kes. Paling saya suka, saya ke rumah hantu yang saya tidak sangka ada. ^_^

Setelah itu, kami bergerak ke Metrojaya dahulu sebelum bertolak pulang ke Kota Bharu, Kelantan. Dalam perjalanan pulang, kami semua singgah di Genting Sempah. Di sana, ramai pelajar yang membeli cenderamata buat keluarga dan rakan (kerana ramai yang terlupa hendak membelinya di lokasi-lokasi sebelum ini oleh sebab leka dan asyik besuka ria). Setelah itu, kami meneruskan perjalanan dan tiba di sekolah pada pukul 3 pagi.

Walaupun lawatan itu sudah lebih seminggu berlalu, perasaan gembira tetap saya dapat rasai sehingga kini. :D

Salam lawatan,



Tiada ulasan:

Catat Ulasan