Sabtu, 17 Oktober 2015

Riadah Berilmiah

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Baru-baru ini, para pelajar lepasan UPSR begitu galak bermain di padang bagi mencapai gelaran juara. Oleh sebab aktiviti sukan bola sepak (telah tamat!), bola jaring (telah tamat!) dan bola baling (hmm... masih lagi berlangsung) yang akan diadakan pada pukul 8.15 pagi hingga 10.45 pagi setiap hari persekolahan (selain hari Ahad) hampir tamat, terdapat juga aktiviti lain yang diadakan oleh pihak sekolah. Sesekali, saya terasa seakan-akan kami, pelajar tahun 6 ini seperti pelajar istimewa yang disayangi semua guru pula (ceh!).

Aktiviti tersebut merupakan aktiviti yang memerlukan daya mental sebagai pembantu utama. Jika aktiviti sukan memerlukan fizikal yang tinggi, aktiviti kali ini sebaliknya pula. Ini kerana, aktiviti kali ini melibatkan aktiviti berpelajaran sambil bermain. Wah, menariknya!

Aktiviti ini akan berjadual pada pukul 11.15 pagi hingga 1.15 petang setiap hari persekolahan. Setiap pelajar wajib menyertainya tanpa sesiapa yang dikecualikan. Namun begitu, bagi memudahkan dan menceriakan lagi aktiviti ini, 5 kumpulan bagi setiap kelas dibuat. Seperti aktiviti sukan, aktiviti kali ini haruslah mempunyai sikap kerjasama bagi menjayakan aktiviti ini.

Pada setiap lima hari persekolahan, terdapat pelbagai aktiviti berpelajaran yang diadakan. Pada hari Ahad, aktiviti Bahasa Melayu akan berlangsung manakala pada hari Isnin, aktiviti Bahasa Inggeris yang akan dijalankan. Berlainan pula dengan hari Selasa iaitu aktiviti Matematik akan diadakan dan hari Rabu pula aktiviti melibatkan Sains akan dianjurkan. Pada hari Khamis pula, aktiviti berciri-ciri Pendidikan Agama Islam yang akan mengambil alih.

Setakat ini, kesemua aktiviti yang telah diadakan kesemuanya menarik. Berikut merupakan antara yang pernah dilakukan sejak minggu lepas hingga hari ini.

_____________________________________________________

Isnin (5 Oktober 2015)

Guru-guru panitia Bahasa Inggeris telah membahagikan kepada semua kumpulan dua helai kertas putih bersaiz besar yang telah tertampal tulisan 'ASTRONOMICAL' pada kertas pertama dan 'CHRYSANTHEMUM' pada kertas kedua. Sangka majoriti kumpulan kami, kami semua perlu memberitahu apa yang kami tahu tentang perkataan-perkataan itu. Jadi, pelajar-pelajar lelaki dan pelajar-pelajar perempuan kumpulan kami berebut untuk mengambil kertas mahjong yang tertampal 'CHRYSANTHEMUM' kerana itu lebih senang. Maklum sahaja, itukan bunga. Lainlah pula dengan perkataan 'ASTRONOMICAL' yang mempunyai makna perkara tentang angkasa lepas. Jadi, jika kamu semua perlu membuat pilihan antara dua perkataan ini, mana satukah yang kamu semua akan pilih? Kalau saya, saya sendiri pun mahu mengambil perkataan 'CHRYSANTHEMUM'. :3

Namun begitu, sangkaan majoriti adalah salah sama sekali. Yang sebenarnya, kami semua perlu mencipta perkataan baharu berdasarkan kedua-dua perkataan itu. Misalnya, perkataan 'cat' dapat dibina melalui perkataan-perkataan itu. Jadi, tugas kami hanyalah menyenaraikan sebanyak yang mampu perkataan-perkataan yang dapat dicipta sama ada dalam perkataan 'CHRYSANTHEMUM' atau 'ASTRONOMICAL'. Oleh sebab tugas ini boleh tahan senang, jadi kumpulan kami dengan bertolak ansur memberikan pelajar lelaki perkataan 'ASTRONOMICAL' manakala pelajar perempuan mengambil yang satu lagi.

_____________________________________________________

Selasa (6 Oktober 2015)

Guru-guru panitia Matematik menyerahkan sekeping kad manila kepada setiap kumpulan. Dengan menggunakan kad manila itu, kami semua perlu melakar sebuah jam di atasnya. Jam yang terkreatif akan dipilih sebagai pemenang. Jadi, kumpulan kami dengan menggunakan kad manila berserta barang hiasan yang dibawa dari rumah, bertungkus-lumus melukis-lukis bentuk jam yang disertai dengan jarum-jarumnya.

Setelah siap, kumpulan kami agak lega kerana sangka kami tidak akan sempat menyiapkannya kerana kumpulan kami yang kekeringan idea kreatif. Namun begitu, oleh sebab pemikiran ketua seni kumpulan kami, kami dapat juga menyiapkannya walaupun hasilnya kurang memberangsangkan jika dibandingkan dengan kumpulan lain yang lebih kreatif.

_____________________________________________________

Rabu (7 Oktober 2015)

Guru-guru panitia Sains pula meminta kami mencipta sebuah bangunan surat khabar yang paling tinggi tetapi paling stabil. Ini bagi menguji kepintaran pelajar dalam topik Sains tahun 6 iaitu kestabilan dan kekuatan. Jadi, dengan menggunakan empat helai surat khabar besar dan tanah liat yang dibenarkan untuk digunakan, kumpulan kami sedaya upaya mencipta bangunan. Agak sukar kerana bangunan kami asyik-asyik sahaja tidak mahu berdiri tegak dan sering sahaja mahu rebah menyembah Bumi.

Namun begitu, oleh sebab usaha yang kuat, kami dapat juga mencipta sebuah bangunan yang boleh juga tahan tinggi. Alhamdulillah, kumpulan kami berjaya melepasi ujian kipas angin tanpa tumbang. Walau bagaimanapun, oleh sebab kumpulan lain ada yang mencipta bangunan stabil yang lebih tinggi daripada yang kami buat, kami tidak dinobatkan sebagai pemenang. Biarpun begitu, kumpulan kami sama sekali tidak sedih atau kecewa kerana sekurang-kurangnya kami sudah mencuba.

_____________________________________________________

Khamis (8 Oktober 2015)

Guru-guru yang terdiri daripada para ustaz dan ustazah telah melancarkan program kuiz agama. Sebenarnya, ini bukan setakat kuiz, ini juga menguji keberanian pelajar kerana tidak semua berani menjawab kerana perasaan malu menguasai jiwa ketika hendak menjawab. Namun begitu, tidak semua jugalah yang malu, terdapat juga yang tampil berani ala-ala gentleman dan gentlewoman. :)

Walau bagaimanapun, tidak semestinya hanya pelajar yang berani akan hadir ke hadapan untuk menjawab, bahkan pelajar yang malu juga boleh dipaksa menjawab kerana pelajar-pelajar yang dikehendaki menjawab kuiz dipilih secara rawak berdasarkan senarai nama semua pelajar tahun 6. Jadi, bertambah-tambah dan berdarab-darablah debaran dalam hati pelajar tahun 6, meskipun soalannya sesenang kacang. Setelah tamat sesi kuiz, para pelajar tahun 6 berasa lega kerana sudah hilang debaran dalam jiwa mereka. Berasa lega juga kerana kesemua yang dipanggil berjaya menjawab dengan lancar soalan kuiz yang diberikan dari kelas pertama hinggalah kelas terakhir (meskipun ada yang langsung tidak menjawab, bukan kerana tidak tahu tetapi malu).

_____________________________________________________

Ahad (11 Oktober 2015)

Guru-guru panitia Bahasa Melayu memberikan kepada setiap kumpulan 10 helai kertas (5 kertas biru, 5 kertas putih, kedua-dua jenis kertas bersaiz A4). Berdasarkan surat khabar yang telah diminta dibawa pada minggu lalu, para pelajar perlu menggunting huruf-huruf yang terkandung dalam surat khabar itu untuk membina simpulan bahasa. Jadi, penatlah setiap pelajar tahun 6 mahu memikirkan simpulan bahasa yang pernah dipelajari dan juga perlu mencari huruf-huruf yang dikehendaki lalu mengguntingnya.

Sebenarnya, bukan itu sahaja, setelah menampal simpulan bahasa di atas kertas yang diberikan, para pelajar haruslah melukis gambar berdasarkan simpulan bahasa tersebut berserta menulis maknanya. Jadi, bertambahlah peningnya kepala murid tahun 6 semua. Biarpun begitu, kesemua kumpulan dapat juga menyiapkan tugasan meskipun hanya satu simpulan sahaja.

_____________________________________________________

Isnin (12 Oktober 2015)

Guru-guru panitia Bahasa Inggeris meminta para pelajar membeli seperlu mungkin kertas warna bagi mencipta lukisan 3 dimensi buatan sendiri. Dengan menjadikan lukisan bunga 3 dimensi yang madam buat sebagai contoh, kami pun mencipta lukisan bunga juga, cuma bunga yang kami buat ialah bunga matahari. Jadi, kami berusaha menggunting-gunting kertas warna bagi mencipta bunga matahari yang tercantik pada abad ini (perasan!).

Setelah siap hasilnya, memang boleh tahan juga cantiknya, tetapi tidak dapat melawan kegahan yang dibuat kumpulan lain yang mencipta lukisan bunga teratai 3 dimensi (siap ada katak lagi bermain-main di sekitarnya!). Apapun. yang penting, kumpulan kami telah membuat sebaik mungkin.

_____________________________________________________

Selasa (13 Oktober 2015)







Guru-guru panitia Matematik mengagih-agihkan sekeping kad manila dengan sehelai kertas putih bersaiz besar berserta sehelai kertas yang tertera 7 jenis bentuk yang berlainan saiz dan sehelai kertas yang menunjukkan contoh-contoh objek yang dapat dibina melalui bentuk tersebut. Dengan menggunakan kemahiran diri dan kekreatifan yang ada, kami semua perlu mencipta objek lain daripada yang tertera pada kertas dengan menggunakan 7 jenis bentuk tersebut. Membuatkan lebih sukar, bentuk-bentuk adalah terhad. Harus gunakan kesemuanya dan tidak boleh menggunakan lebih daripada itu. (Mungkin yang membaca entri ini tidak faham akan aktiviti ini kerana saya sendiri pun sukar untuk jelaskannya) >_<

Apabila masa tamat, kumpulan kami agak bersyukur kerana dapat juga mencipta 4 objek yang lain daripada yang lain (meskipun tidak menjadi sangat).

_____________________________________________________

Kalau mahu tahu, pelbagai lagi aktiviti yang akan diadakan selepas ini. Senang cerita, kesemua aktiviti yang sudah dan akan diadakan adalah menarik sekali. ^_^

Apapun, saya mahu tamatkan entri ini dengan ucapan merdeka kepada calon UPKK dan PT3 tahun ini (pasti seronok apabila peperiksaan penting sudah pun tamat, bukan?) manakala ucapan selamat berjaya kepada calon SPM, STPM dan STAM. ;)

Salam ilmiah,



Tiada ulasan:

Catat Ulasan