Isnin, 16 November 2015

Sehari Sebelum Keputusan UPSR

Assalamualaikum dan salam sejahtera. ^_^

Sedar tidak sedar, esok akan diumumkan secara rasminya keputusan UPSR 2015. Saya sebagai calon UPSR tahun ini pastinya berdebar-debar dan berasa gementar. Saya dapat rasakan hati saya berdegup kencang mengalahkan kereta Formula 1 yang memecut laju di litar perlumbaan. >_<

Cooking is my secret talent. (ceh!) >_<

Ketika masih berbaki lebih kurang 24 jam lagi untuk berasa berdebar, kelas saya iaitu kelas 6 Bestari sibuk memasak barbeku di garaj sekolah. Termasuk kali ini, ini merupakan kali kedua kami memasak. Memang seronok aktiviti ini kerana kami dapat menikmati makanan yang dimasak sendiri. Lebih-lebih lagi apabila sudah penat memasak sehinggakan waktu makan terlewat daripada jadual (oleh sebab ayam masih belum siap dibakar!). Walau bagaimanapun, kami semua tetap menikmati hidangan barbeku ini. Memang menggembirakan dapat makan bersama-sama di garaj sekolah ala-ala berkelah (kebetulan kedudukan garaj berhadapan dengan padang, jadi angin sepoi-sepoi bahasa dapat dirasai). ^_^

Tidak dilupakan juga, apabila ayam, sosej dan nuget yang dibakar berbaki berpuluh-puluh lagi, kami tanpa sedikit pun perasaan kedekut apatah lagi bakhil mengajak para guru untuk menikmati lebihan makanan itu (tanda menghargai jasa guru yang mengajar selama enam tahun). Lebih mengejutkan, setiap pelajar tahun satu hingga lima yang melewati garaj sekolah dan juga padang ditawarkan makanan-makanan tersebut secara percuma, sehinggakan murid prasekolah yang baru sahaja tamat sesi persekolahan juga dihulurkan makanan kepada setiap seorang. Membuatkan semua orang tergelak, para pelajar yang ditawarkan makanan itu bukannya menerima tetapi menolak bahkan melarikan diri pula lalu membuatkan para pelajar kelas saya dengan gaya agresif mengejar pelajar tersebut bagi memaksa mereka menerima makanan yang diberikan. Memang patut pun pelajar tersebut melarikan diri, mungkin takut akan para pelajar kelas saya yang seakan-akan terlampau terdesak mengharapkan makanan diambil dan diterima dengan perasaan teruja. :3

Selepas mengemaskan barang-barang masakan dan juga tikar, semua pelajar sibuk ke tengah padang atas satu niat. Bukannya mahu bergiat aktif dengan gaya atlet handalan negara tetapi segera mengeluarkan telefon dan monopod yang dibawa bagi mengambil gambar wefie bersama-sama. Kata mereka, sebagai gambar kenangan apabila sudah meninggalkan satu sama lain. Lagipun, kami semua memang bercadang untuk mengambil gambar wefie setiap masa dan ketika berdasarkan jadual berikut:

  • Sebulan sebelum UPSR (check!)
  • Seminggu sebelum UPSR (check!)
  • Sehari sebelum UPSR (check!)
  • Sejam sebelum UPSR (check!)
  • Sejam selepas UPSR (check!)
  • Sehari selepas UPSR (check!)
  • Seminggu selepas UPSR (check!)
  • Sebulan selepas UPSR (check!)
  • Sebulan sebelum keputusan UPSR (check!)
  • Seminggu sebelum keputusan UPSR (check!)
  • Sehari sebelum keputusan UPSR (check!)
  • Sejam sebelum keputusan UPSR
  • Sejam selepas keputusan UPSR
  • Sehari selepas keputusan UPSR
  • Dua hari selepas keputusan UPSR

Amboi, begitu banyak sekali jadual wefie! Kalau boleh, seminit sebelum dan selepas keputusan UPSR pun mahu diambil juga. :3

Jika tidak dapat hadir ke sekolah esok, inilah cara untuk mendapatkan keputusan UPSR dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas

Apapun, nanti apabila hadir ke sekolah, tenanglah sahaja, ya. Jangan terlampau gementar atau rungsing. Biar kita lalui saat-saat genting ini dengan penuh ketenangan walaupun keputusan kita bukan seperti yang diharapkan. Walau bagaimanapun, saya amat mendoakan agar semua calon UPSR 2015 akan mendapat keputusan UPSR yang amat cemerlang. ;)

Salam sehari sebelum keputusan UPSR,



Tiada ulasan:

Catat Ulasan