Khamis, 2 Julai 2015

UPSR 2 Bulan Lagi!

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^


Sedar tidak sedar, UPSR akan menjenguk para pelajar tahun 6 hanya, tinggal 2 bulan! Dan 1 minggu lagi! Jadi, janganlah tertekan sangat ya! Masih berbaki 2 bulan lagi untuk mempersiapkan diri untuk memasuki dewan UPSR yang ala-ala rumah berhantu.

Saya sendiri pun tidak menyangka, bahawa masa bergerak begitu pantas dengan lagak kereta api ekspres! Saya sendiri pun hanya menaiki kereta sahaja. Kereta pula, bukannya mewah dan selaju kilat. Setakat motosikal jiran sebelah bolehlah dipotong dengan gaya pemandu kereta Formula 1! Eh, sekejap! Apa yang saya merapukan ini? Lupakan sahajalah, ya. :3

Oleh sebab masa yang boleh dikatakan tidak lama lagi, kita sebagai calon UPSR 2015 perlulah bersedia untuk memantapkan diri kita. Lebih-lebih lagi dalam mata pelajaran yang agak lemah. Seperti saya, saya lemah sedikit dalam Bahasa Inggeris dan Sains tetapi yang lain, Alhamdulillah, saya okey setakat ini (walaupun kadang-kadang terlebih cuai sehingga dapat lapan puluh peratus!). :)

Untuk memudahkan lagi proses pemantapan diri anda, di sini saya ada beberapa tip-tip UPSR. Jadi semua murid yang bakal menghadapi UPSR tahun ini, marilah kita baca dan hayati segala tip-tip ini. Jangan hanya baca sahaja. Lakukannya!

_____________________________________________________

TIP UPSR

a) Tip Sebelum UPSR
  • Pertama, ulang kaji 5 mata pelajaran UPSR iaitu Bahasa Melayu: Pemahaman, Bahasa Melayu: Penulisan, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains
  • Kedua, lebihkan ulang kaji mata pelajaran atau topik yang lemah
  • Ketiga, sentiasa fokus ketika guru mengajar
  • Keempat, pergilah ke kelas tuisyen untuk memantapkan lagi diri
  • Kelima, jangan sesekali ponteng sekolah, kelas tambahan dan kelas tuisyen
  • Keenam, jika di rumah anda ada saluran 601 (Astro Tutor TV UPSR), sila pastikan anda menjadi penonton setia saluran itu dan elakkan menonton saluran lain
  • Ketujuh, jika di rumah anda ada fungsi PVR, rakam (record) mata pelajaran yang lemah supaya dapat menonton pada waktu lapang dan dapat menonton berkali-kali
  • Kelapan, beli buku latih tubi UPSR dan habiskan buku itu
  • Kesembilan, beli buku rujukan UPSR dan baca segala isinya
  • Kesepuluh, pastikan bawa buku nota, buku teks dan buku rujukan setiap masa supaya dapat baca ketika masa kosong
  • Kesebelas, pastikan bawa juga kamus dewan dan kamus dwibahasa setiap masa supaya dapat mencari makna perkataan yang tidak faham
  • Kedua belas, walaupun sudah habis baca segala nota, buku teks dan buku rujukan, sila baca kembali supaya segalanya tidak terlupa
  • Ketiga belas, siapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru
  • Keempat belas, salin setiap patah perkataan yang guru sebut walaupun tidak disuruh
  • Kelima belas, kalau mahu guna Internet, pastikan laman web Tutor TV yang dilawati dan elakkan melayari laman web lain
  • Keenam belas, pastikan mempunyai jadual harian supaya masa tidak dibazirkan dan supaya segala aktiviti menjadi seimbang
  • Ketujuh belas, jangan sesekali sentuh permainan video
  • Kelapan belas, boleh buat kumpulan belajar bersama-sama supaya dapat berbincang sesama sendiri
  • Kesembilan belas, jangan segan bertanya kepada sesiapa jika tidak faham
  • Kedua puluh, jika seminar pelajaran diadakan, sila pastikan pergi ke seminar itu
  • Kedua puluh satu, jangan melawan kata-kata guru dan ibu bapa
  • Kedua puluh dua, jangan sesekali tinggalkan perkara yang wajib seperti solat fardu
  • Kedua puluh tiga, pastikan sentiasa lakukan aktiviti-aktiviti sunat
  • Kedua puluh empat, sila jaga kesihatan supaya tidak sakit ketika UPSR
  • Kedua puluh lima atau akhir sekali, pastikan tidak lekang berdoa untuk kebaikan menjalani UPSR

b) Tip Semasa UPSR
  • Pertama, sebelum menjawab soalan, sila baca doa supaya dapat menjawab dengan mudah
  • Kedua, jika terlupa tentang jawapan untuk sesuatu soalan, berselawatlah kepada Nabi Muhammad
  • Ketiga, jika masih tidak mengingatinya, sila lompat ke soalan seterusnya dan tinggalkan dahulu soalan tersebut untuk tidak membazirkan masa
  • Keempat, jika sudah siap menjawab, sila kembali ke soalan yang telah tinggalkan dan sila jawab soalan tersebut
  • Kelima, sila semak kertas soalan itu untuk memastikan menjawab semua soalan dan untuk memastikan jawapan betul serta tidak tersalah tanda
  • Keenam atau akhir sekali, sila baca doa supaya mendapat keputusan cemerlang

c) Tip Selepas UPSR
  • Pertama, sila tanamkan azam supaya mendapat keputusan 5A
  • Kedua, jauhi diri daripada berfikir tentang perkara negatif
  • Ketiga, jangan tinggalkan perkara-perkara wajib seperti solat fardhu
  • Keempat, amalkan amalan-amalan sunat
  • Kelima, jangan melawan kata-kata guru dan ibu bapa
  • Keenam, berdoa agar mendapat keputusan cemerlang
  • Ketujuh, berserah kepada Allah
  • Kelapan, ketika mahu mengambil keputusan UPSR, tabahkan hati untuk redha dengan keputusan sama ada cemerlang atau gagal
  • Kesembilan, jangan menjadi riak jika mendapat keputusan cemerlang
  • Kesepuluh, sila tenangkan rakan yang sedang berduka lara
  • Kesebelas, jangan bersedih hati jika mendapat keputusan yang tidak membanggakan

_____________________________________________________

Apa-apapun, kepada calon-calon UPSR, sila lakukan tip-tip di atas. Jangan pula lakukan sebaliknya jika mahu berjaya. Ingat!

Saya sendiri pun sedang dalam proses terbaik untuk menghadapi UPSR. Insya-Allah, saya dan sesiapa yang sudah dan akan memulakan proses ini akan mendapat keputusan yang terbaik iaitu 5A. ;)

Salam dua bulan sebelum UPSR,



Tiada ulasan:

Catat Ulasan