Isnin, 27 Julai 2015

Sambutan Hari Raya Aidilfitri

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Saya tahu, ini agak lambat tetapi saya tetap mahu mengucapkannya.

Selamat Hari Raya Aidilfitri! Maaf zahir dan batin! ;)

Maaf, ya, atas ucapan yang telah lambat melebihi 10 hari dari tarikh yang ditetapkan ini. Sebenarnya, bukan saya tidak mahu mengemas kini blog saya bagi mengucapkan ucapan yang bermakna ini tetapi secara tiba-tiba, komputer riba saya ini telah membuat hal. Komputer riba itu langsung tidak dapat mengakses Internet. Jadi saya terpaksa menghantar komputer ini untuk dibaiki terlebih dahulu. :)

Apa-apapun, bagaimanakah sambutan raya? Seronok? Manis? Ceria? Menarik? Mungkin juga ada yang sedang berduka lara atas insiden yang tidak disangka akan berlaku? Jika ada sesiapa yang sedang mengalami perasaan terakhir itu, takziah diucapkan. Semoga segalanya akan beransur pulih dan baik. :)

Kepada yang sedang berseronok itu, kenapakah bergembira sangat, ya? Adakah kerana dapat berpuasa penuh 29 hari pada tahun ini? Mungkin juga kerana dapat merasai kuih dan biskut raya yang enak sehingga tertelan jari sendiri (isy, harapnya tidak berlakulah, ya! :3)? Kemungkinan kerana dapat menggayakan pakaian raya yang terbaik dari gedung pakaian terbaik? Mungkin juga dapat mengumpul duit raya sehingga mencecah berbilion-bilion (amboi, banyaknya! ^_^ )? Kalau gembira atas sebab terakhir yang disebutkan itu, harap gunakanlah duit raya tersebut dengan sebaiknya. Janganlah jadi seorang yang boros pula, ya. ;)

Cuba teka, antara empat orang ini, manakah saya? Yang pastinya, bukanlah dua orang yang berdiri di tengah-tengah gambar itu. :3

Walau bagaimanapun, baju raya warna apa pada tahun ini? Pada tahun ini, keluarga saya menggunakan tema biru sebagai pakaian raya kami. Walaupun saya sebenarnya suka akan warna ungu, tetapi biarlah. Kadang kala lari daripada warna kegemaran pun tidak mengapa, bukan? Lagipun, saya sudah ada baju melayu berwarna ungu. Jadi tidak perlulah lagi berpasang-pasang baju melayu ungu yang akan memenuhi almari baju.

Ini gambar bersama ahli keluarga sebelah ibu. Memang ramai, itupun belum cukup lagi ahlinya. :)

Selain itu, saya mahu tanya, pada tahun ini, beraya di mana? Di timur? Di barat? Di selatan? Di borneo? Di utara? Di rumah sendiri? Atau ada yang beraya jauh di luar negara? Apapun, seperti tahun-tahun sebelumnya, saya beraya jauh dari negeri asal saya iaitu Kelantan. Saya merantau berjam-jam dari Kelantan ke Kedah. Ya, di Kedah, kampung sebelah ibu saya. Walaupun jauh dari rumah, saya tetap bergembira di sini. Mungkin atas dasar rindu kepada keluarga di sebelah utara. Maklum sahaja, kali terakhir bertemu pun pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu. ^_^

Seterusnya, sudah pasti semua sudah kembali bersekolah, bukan? Janganlah ponteng-ponteng lagi atas masih berangin raya. Sebenarnya, dalam Islam, Hari Raya Aidilfitri hanyalah pada 1 hari iatu 1 Syawal. Tetapi, kita rakyat di Malaysia ini terlampau seronok beraya sehingga sebulan Syawal mahu beraya. Pada pendapat saya, mahu beraya selama sebulan penuh memang boleh, tetapi janganlah lupa akan tanggungjawab sebagai murid sekolah dengan hadir ke sekolah. :)

Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat SK Islah 2015! ^_^

Oleh sebab semua sudah kembali bersekolah, adakah di sekolah sudah diadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri? Sekolah saya? Sudah, iaitu pada hari ini. Memang seronok dapat menjamu selera dengan pelbagai makanan yang lazat. Antaranya, mi, makaroni, spageti, kek dan paling tidak dapat dilupakan, biskut raya yang memang menjadi igauan setiap kali raya. :D

Walaupun semua sedang seronok menyambut raya, kepada semua pelajar tahun 6, tingkatan 3 dan tingkatan 5, jangan lupa sesuatu. Lupa tentang apa? UPSR, PT3 and SPM is coming! Namun begitu, harus menjadi keutamaan ialah pelajar tahun 6 oleh sebab UPSR hanya tinggal 1 bulan 1 minggu sahaja lagi! Jadi, sila kembali fokus pada pelajaran, ya. ;)

Apa-apapun, ingat, raya-raya juga, pelajaran jangan lupa! ^_^

Salam Aidilfitri,



Rabu, 15 Julai 2015

Goodbye, Ramadan!

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Wah, nampaknya semua rakyat beragama Islam seluruh Malaysia begitu gembira mahu menyambut Syawal yang mendatang! ^_^

Saya pasti, sekarang, semua mesti sudah bersiap sedia dengan segala yang serba baharu! Baju baharu, kasut baharu, songkok baharu, tudung baharu dan pelbagai lagi yang baharu. Kalau pada tahun ini anda beraya di Kota Bharu atau Johor Bahru, lagi lengkaplah raya anda, kerana semuanya penuh kebaharuan. :)

Kepada yang tidak lagi membeli sebarang kelengkapan menyambut raya, baik beli sekarang. Lusa, insya-Allah kita akan mula beraya. Jadi, perlulah persiapkannya dengan segera. Jangan lengah-lengah sambil jalan geleng-geleng kangkung lagi, ya. ;)

Apa-apapun, di samping bulan Syawal iaitu tarikh bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri hampir menjenguk kita, kita juga akan meninggalkan bulan penuh mulia lagi barakah iaitu bulan Ramadan. :(

Sepanjang bulan Ramadan ini, pelbagai perkara yang kita telah lalui bersamanya. Contohnya:-

  • Berpuasa selama sebulan! Cabaran besar yang perlu dilalui.
  • Solat tarawih pada malam hari! Jarang dapat dijumpai pada bulan yang lain.
  • Dapat bangun awal untuk bersahur! Mungkin sukar tetapi sekurang-kurangnya membekalkan kita pahala yang dapat membantu kita di 'sana' nanti.
  • Menikmati kenikmatan berbuka puasa! Tatkala makan, umpama tidak makan selama lebih setahun.
  • Mengunjungi bazar Ramadan! Peluang yang sukar didapati, syurga makanan.
  • Melawan hawa nafsu! Dapat mengelak timbulnya dosa yang membazir semata-mata.

Sesungguhnya, senarai-senarai ini teramar susah untuk kita lakukan pada bulan-bulan lain. Sekiranya dapat pun, mungkin tidak seerti dengan yang dilakukan pada bulan Ramadan ini. :)

Walau bagaimanapun, kita tetap akan meninggalkan bulan Ramadan. Jadi, marilah kita hargai bulan Ramadan ini selagi bulan ini tidak beredar dek masa. ;)

Goodbye, Ramadan! ;)

Semoga kita dapat bertemu lagi pada tahun-tahun akan datang. ^_^

Salam Ramadan,



Ahad, 5 Julai 2015

Ain Maisarah

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Kepada ulat-ulat buku sekalian, pasti sekali ruangan rumah kamu dipenuhi semata-mata dengan objek dan barangan dikenali sebagai buku. Memang tidak sah jikalau bergelar seorang ulat buku tetapi satu buku pun tidak dimiliki. Itu bukan namanya ulat buku, itu ulat penipu namanya! :3

Dalam negara kita bahkan dunia, terdapat pelbagai jenis kategori buku (contohnya, majalah, eksilopedia, surat khabar, buku cerita dan novel). Dan dalam setiap kategori itu, terdapat pelbagai jenis genre (misalnya, kanak-kanak, remaja dan dewasa). Dalam setiap genre, terdapat pelbagai kisah (umpama, pengembaraan fantasi, cinta, alam persekolahan atau pekerjaan, sejarah, misteri dan seram).

Apa-apapun, pernahkah mendengar nama Ain Maisarah sepanjang perkenalan dengan buku? Jangan tertukar, ya. Ain Maisarah merupakan nama penulis buku, bukannya nama syarikat penerbitan buku pula. Bukan juga nama kedai-kedai buku ataupun kilang pencetakan buku.


Buat pengetahuan semua, Ain Maisarah merupakan seorang novelis yang telah menempah nama di persada dunia penulisan Malaysia ini. Beliau menulis untuk buku berkategorikan novel bergenre remaja dan menjadi penulis sepenuh masa di syarikat penerbitan PTS Media Group.


Buku pertama beliau yang telah mencetuskan kerjayanya ialah berjudul Aku Mahu Popular yang diterbitkan pada tahun 2006. Sehingga kini, buku ini masih diulang cetak hingga berpuluh kali dan telah dikemas kini pada tahun 2012.

Aku Mahu... Ain Maisarah merupakan kompilasi novel best seller beliau iaitu Aku Mahu Popular, Aku Mahu Saiz S dan Aku Mahu Teman Tapi Mesra. Boleh dapatkannya hanya di seluruh cawangan Popular di Malaysia dengan harga RM35.90, lebih menjumatkan RM12.10 berbanding membeli novel-novel tersebut secara satu per satu.

Buat masa ini, Ain Maisarah telah menulis sebanyak 66 buah buku. Kebanyakan daripada buku-buku tersebut telah menjadi best seller dalam carta jualan buku PTS dan menjadi kegemaran kanak-kanak dan remaja di seluruh Malaysia atas kreativiti dan penulisan santai yang ditampilkan olehnya melalui buku-buku tulisan beliau, sehingga tiga buah buku beliau telah dikompilasikan dalam sebuah buku. Wah, hebatnya!

Logo Sekolah Sri Bangsar

Selain itu, semua buku-buku hasil mandi keringat Ain Maisarah merupakan karya-karya bersiri yang pelbagai. Misalnya, siri-siri terawal beliau iaitu Aku Mahu dan Impiana. Walaupun berlainan siri, kisah setiap siri itu tetap mempunyai persamaan dari segi latar tempat asal iaitu Sekolah Sri Bangsar.

Setelah lama berkhidmat sepenuh masa bersama PTS, Ain Maisarah telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan syarikat penerbitan buku sendiri yang dikenali sebagai Blink Book Sdn. Bhd. (anak syarikat PTS) bermula tanggal Februari 2011. Kini, buku-buku lama beliau terbitan PTS One dan PTS Syok telah dikemas kini dari segi kulit buku serta kaedah penulisan agar sinonim dengan buku-buku lain untuk dijadikan di bawah syarikat penerbitan beliau.

Sebaik sahaja penubuhan syarikat beliau sendiri, pelbagai aktiviti yang telah dilakukan beliau.

Aku Mahu Jadi The Wannababes
(bersama Haziq Ridzuan)

Antaranya, Ain Maisarah telah mencuba untuk berkolaboratif bersama penulis-penulis lain yang dikenali sebagai penulis Blink dalam proses penghasilan buku-buku. Sehingga sekarang, penulis Blink telah berjumlah seramai 18 orang dan 2 orang daripadanya merupakan seorang pembaca tegar buku Ain Maisarah sejak di bangku sekolah. Biodata-biodata ringkas mereka boleh diketahui di sini.

Running Star: Pencarian Bintang Terhebat
(bersama Rashiela Nurain & Ain Lavendra)

Selain itu, Ain Maisarah telah mencipta pembaharuan dalam bidangnya. Selain menulis bagi siri novel semata-mata, beliau telah menulis bagi siri nomik. Sekarang, beliau telah menulis untuk 3 nomik bersiri bersama penulis dan pelukis berbakat yang lain.


Di samping itu, 2 buah buku tulisan Ain Maisarah telah pun diterjemahkan ke bahasa antarabangsa. Buku tersebut ialah Aku Mahu Ke New York 1 dan Aku Mahu Ke New York 2, tetapi akan dikenali sebagai I Wanna Go To New York. Untuk buku ini dan buku terjemahan beliau akan datang, Ain Maisarah akan menukar nama penanya sebagai A.M. Sarah. Fakta tambahan, buku I Wanna Go To New York akan menjadi buku pertama dalam siri I Wanna.

Aku Mahu Super Bibik

Aku Mahu Ke New York 1 & Aku Mahu Ke New York 2

Seterusnya, setakat ini, tiga buah buku hasil karya Ain Maisarah telah diadaptasikan ke bentuk telefilem yang telah ditayangkan di saluran Astro Ceria dan Astro Maya HD. Buku tersebut ialah Aku Mahu Superbibik (bersama Izanor Sharif), Aku Mahu Ke New York 1 dan Aku Mahu Ke New York 2. Insya-Allah, pada masa akan datang, lebih banyak lagi buku usaha penat lelah beliau akan diadaptasikan dalam bentuk drama, animasi kartun, telefilem atau filem.

Akhir sekali, pelbagai acara luar yang telah dianjurkan oleh Ain Maisarah. Misalnya, Seminar Novelistar Remaja dan Program Jelajah Sekolah Blink. Dalam program-program berikut, Ain Maisarah dan penulis-penulis Blink yang lain akan memberi ceramah penulisan. Jika mahu menjemput penulis-penulis tersebut hadir ke sekolah, sila minta kebenaran daripada pihak sekolah dahulu. Setelah mendapat kebenaran, bolehlah minta mana-mana guru mengisi butiran yang diminta di sini.

Apa-apapun, kepada yang mahu mengetahui lebih lagi tentang Ain Maisarah, boleh kunjungi laman Facebook rasmi beliau di sini atau blog rasmi beliau iaitu di sini. Jika berminat untuk membeli buku-buku yang ditulisnya, bolehlah membelinya di mana-mana cawangan kedai buku seluruh Malaysia ataupun secara talian di sini. ;)

Salam tokoh penulisan,



Khamis, 2 Julai 2015

UPSR 2 Bulan Lagi!

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^


Sedar tidak sedar, UPSR akan menjenguk para pelajar tahun 6 hanya, tinggal 2 bulan! Dan 1 minggu lagi! Jadi, janganlah tertekan sangat ya! Masih berbaki 2 bulan lagi untuk mempersiapkan diri untuk memasuki dewan UPSR yang ala-ala rumah berhantu.

Saya sendiri pun tidak menyangka, bahawa masa bergerak begitu pantas dengan lagak kereta api ekspres! Saya sendiri pun hanya menaiki kereta sahaja. Kereta pula, bukannya mewah dan selaju kilat. Setakat motosikal jiran sebelah bolehlah dipotong dengan gaya pemandu kereta Formula 1! Eh, sekejap! Apa yang saya merapukan ini? Lupakan sahajalah, ya. :3

Oleh sebab masa yang boleh dikatakan tidak lama lagi, kita sebagai calon UPSR 2015 perlulah bersedia untuk memantapkan diri kita. Lebih-lebih lagi dalam mata pelajaran yang agak lemah. Seperti saya, saya lemah sedikit dalam Bahasa Inggeris dan Sains tetapi yang lain, Alhamdulillah, saya okey setakat ini (walaupun kadang-kadang terlebih cuai sehingga dapat lapan puluh peratus!). :)

Untuk memudahkan lagi proses pemantapan diri anda, di sini saya ada beberapa tip-tip UPSR. Jadi semua murid yang bakal menghadapi UPSR tahun ini, marilah kita baca dan hayati segala tip-tip ini. Jangan hanya baca sahaja. Lakukannya!

_____________________________________________________

TIP UPSR

a) Tip Sebelum UPSR
  • Pertama, ulang kaji 5 mata pelajaran UPSR iaitu Bahasa Melayu: Pemahaman, Bahasa Melayu: Penulisan, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains
  • Kedua, lebihkan ulang kaji mata pelajaran atau topik yang lemah
  • Ketiga, sentiasa fokus ketika guru mengajar
  • Keempat, pergilah ke kelas tuisyen untuk memantapkan lagi diri
  • Kelima, jangan sesekali ponteng sekolah, kelas tambahan dan kelas tuisyen
  • Keenam, jika di rumah anda ada saluran 601 (Astro Tutor TV UPSR), sila pastikan anda menjadi penonton setia saluran itu dan elakkan menonton saluran lain
  • Ketujuh, jika di rumah anda ada fungsi PVR, rakam (record) mata pelajaran yang lemah supaya dapat menonton pada waktu lapang dan dapat menonton berkali-kali
  • Kelapan, beli buku latih tubi UPSR dan habiskan buku itu
  • Kesembilan, beli buku rujukan UPSR dan baca segala isinya
  • Kesepuluh, pastikan bawa buku nota, buku teks dan buku rujukan setiap masa supaya dapat baca ketika masa kosong
  • Kesebelas, pastikan bawa juga kamus dewan dan kamus dwibahasa setiap masa supaya dapat mencari makna perkataan yang tidak faham
  • Kedua belas, walaupun sudah habis baca segala nota, buku teks dan buku rujukan, sila baca kembali supaya segalanya tidak terlupa
  • Ketiga belas, siapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru
  • Keempat belas, salin setiap patah perkataan yang guru sebut walaupun tidak disuruh
  • Kelima belas, kalau mahu guna Internet, pastikan laman web Tutor TV yang dilawati dan elakkan melayari laman web lain
  • Keenam belas, pastikan mempunyai jadual harian supaya masa tidak dibazirkan dan supaya segala aktiviti menjadi seimbang
  • Ketujuh belas, jangan sesekali sentuh permainan video
  • Kelapan belas, boleh buat kumpulan belajar bersama-sama supaya dapat berbincang sesama sendiri
  • Kesembilan belas, jangan segan bertanya kepada sesiapa jika tidak faham
  • Kedua puluh, jika seminar pelajaran diadakan, sila pastikan pergi ke seminar itu
  • Kedua puluh satu, jangan melawan kata-kata guru dan ibu bapa
  • Kedua puluh dua, jangan sesekali tinggalkan perkara yang wajib seperti solat fardu
  • Kedua puluh tiga, pastikan sentiasa lakukan aktiviti-aktiviti sunat
  • Kedua puluh empat, sila jaga kesihatan supaya tidak sakit ketika UPSR
  • Kedua puluh lima atau akhir sekali, pastikan tidak lekang berdoa untuk kebaikan menjalani UPSR

b) Tip Semasa UPSR
  • Pertama, sebelum menjawab soalan, sila baca doa supaya dapat menjawab dengan mudah
  • Kedua, jika terlupa tentang jawapan untuk sesuatu soalan, berselawatlah kepada Nabi Muhammad
  • Ketiga, jika masih tidak mengingatinya, sila lompat ke soalan seterusnya dan tinggalkan dahulu soalan tersebut untuk tidak membazirkan masa
  • Keempat, jika sudah siap menjawab, sila kembali ke soalan yang telah tinggalkan dan sila jawab soalan tersebut
  • Kelima, sila semak kertas soalan itu untuk memastikan menjawab semua soalan dan untuk memastikan jawapan betul serta tidak tersalah tanda
  • Keenam atau akhir sekali, sila baca doa supaya mendapat keputusan cemerlang

c) Tip Selepas UPSR
  • Pertama, sila tanamkan azam supaya mendapat keputusan 5A
  • Kedua, jauhi diri daripada berfikir tentang perkara negatif
  • Ketiga, jangan tinggalkan perkara-perkara wajib seperti solat fardhu
  • Keempat, amalkan amalan-amalan sunat
  • Kelima, jangan melawan kata-kata guru dan ibu bapa
  • Keenam, berdoa agar mendapat keputusan cemerlang
  • Ketujuh, berserah kepada Allah
  • Kelapan, ketika mahu mengambil keputusan UPSR, tabahkan hati untuk redha dengan keputusan sama ada cemerlang atau gagal
  • Kesembilan, jangan menjadi riak jika mendapat keputusan cemerlang
  • Kesepuluh, sila tenangkan rakan yang sedang berduka lara
  • Kesebelas, jangan bersedih hati jika mendapat keputusan yang tidak membanggakan

_____________________________________________________

Apa-apapun, kepada calon-calon UPSR, sila lakukan tip-tip di atas. Jangan pula lakukan sebaliknya jika mahu berjaya. Ingat!

Saya sendiri pun sedang dalam proses terbaik untuk menghadapi UPSR. Insya-Allah, saya dan sesiapa yang sudah dan akan memulakan proses ini akan mendapat keputusan yang terbaik iaitu 5A. ;)

Salam dua bulan sebelum UPSR,