Sabtu, 27 Jun 2015

Young Aisyah

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Pada hari ini, saya akan memperkenalkan sebuah nomik (novel + komik) bersiri terbaik yang patut dimiliki oleh semua golongan masyarakat. Jadi, kepada ulat-ulat novel dan komik sekalian, sila dapatkan segera buku tersebut, sebaik menghabiskan pembacaan bait-bait kata dalam entri ini.

Buat pengetahuan semua, buku bersiri yang akan saya perkenalkan ini ialah siri Young Aisyah yang diterbitkan syarikat penerbitan buku PTS One Sdn. Bhd. Mungkin ramai yang sudah tahu tentang buku ini. Maklum sahaja, buku dalam siri ini memang telah terkenal seantero Malaysia disebabkan jalan ceritanya yang begitu mencuit hati para pembaca. Juga tidak ketinggalan dalam menyampaikan pengajaran yang sepatutnya buat pembaca yang banyaknya terdiri dalam golongan kanak-kanak.

 

Kalau mahu tahu juga, buku ini ditulis oleh novelis yang diberi nama Saridah Hamid yang telah pun menulis beberapa buah karya, antaranya Surah-surah Rindu, dan ditulis juga oleh pelukis komik Reja yang melukis bagi siri komik Shootz!, tetapi dalam buku ini, Saridah Hamid atau mesra dipanggil Kak Idah menguruskan perihal novel manakala Reja iaitu Abang Reja mengendalikan hal komik. Atas gabungan unik kedua-dua genre ini, terhasillah nomik Young Aisyah yang telah berjaya memukau pembaca-pembaca di Malaysia. Kak Idah boleh dihubungi di sini atau di sini manakala Abang Reja boleh dihubungi di sini atau di sini.


Selain itu, empat buah buku dalam siri ini telah dilesenkan untuk dipasarkan ke pasaran negara jiran iaitu Indonesia. Namun begitu, di Indonesia, siri ini tidak lagi dikenali sebagai siri Young Aisyah tetapi dikenali dengan nama Seri Dunia Aisyah. Buku-buku yang telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia ini boleh dibeli di sini dengan harga Rp. 43 000 (Sekolah Baru) dan Rp. 35 000 (Pindah Rumah, Jadi Juara, Pentas Seru!), itupun jika mahu beli. :3


Seterusnya, buku ini juga bakal diadaptasikan ke bentuk animasi. Jadi, nanti, watak-watak comel dalam siri ini akan dapat dilihat bergerak lincah seakan-akan ahli akrobatik di kaca televisyen. Apa-apapun, doakan agar kerja-kerja penerbitan siri animasi ini dipermudah-Nya.

Seperkara lagi, dalam buku ini, kisah ini diceriakan dengan watak yang banyak memainkan peranan dalam kisah ini, iaitu Aisyah Sofia. Tidak dilupakan ialah Nazirah (kawan Aisyah), Amirah (kawan Aisyah), Ali (kawan Aisyah), Abu (kawan Aisyah), Azirah (kakak Aisyah), Encik Jamil (ayah Aisyah), Puan Aminah (ibu Aisyah), Nenek Saloma (nenek Aisyah) dan tidak ketinggalan ialah kucing comel Aisyah itu Nini. Dengan kehadiran watak-watak ini, kisah Young Aisyah lebih berwarna-warni bak pelangi yang menghiasi langit ciptaan-Nya.

Setakat ini (27 Jun 2015), buku bersiri ini telah mempunyai 16 buah buku yang hampir semua daripadanya telah menjadi best seller dan berkali-kali diulang cetak atas permintaan pembaca cilik semua.

_____________________________________________________


Pindah Rumah
Memulakan kehidupan baru di kampung satu cabaran bagi Aisyah. Adakah dia bersedia untuk berpindah? Bagaimanakah dengan Nini, Nazirah dan kawan-kawan lain di sekolahnya?

_____________________________________________________


Buli
Aisyah Sofia bimbang memulakan persekolahan di sekolah baharunya. Namun begitu, dia tidak menyangka dapat bertemu kawan baiknya, Amirah. Di samping itu, ada dua orang budak lelaki yang dikenalinya. Siapakah mereka? Adakah mereka yang membuli Aisyah Sofia? Dapatkah Aisyah Sofia menangani masalah buli di sekolahnya dan apakah cerita di sebalik kes buli itu?

_____________________________________________________


Juara Kampung Badak Berendam
Hari sukan sekolah baru bermula. Aisyah Sofia dan rakan-rakannya berlumba-lumba masuk acara yang dipertandingkan. Namun begitu, terdapat seorang kawan Aisyah Sofia yang hanya duduk mendiamkan diri. Mengapakah dia tidak mahu masuk bertanding? Mungkin dia ada sebabya sendiri. Mahu tahu siapa menang pertandingan lumba lari 100 meter? Aisyah Sofia ada jawapannya.

_____________________________________________________


Sayang Cikgu
Hari Ibu dan Hari Guru akan berlangsung tidak lama lagi. Geng Aa-Syik sibuk membuat persiapan untuk menyambutnya. Apakah yang bakal Aisyah Sofia hadiahkan untuk umi, nenek dan guru-gurunya? Mereka juga berlakon di sekolah. Apakah yang mereka lakonkan?

Nota: Buku Sayang Cikgu ini ditulis oleh Eisya Sufya, namun, idea asal adalah daripada Saridah Hamid dan Reja.

_____________________________________________________


Ponteng Puasa
Bulan puasa akan menjelang tidak lama lagi. Aisyah Sofia dan Geng Aa-Syik tidak sabar menunggu untuk berpuasa. Apabila tiba bulan Ramadan, Abu dan Ali didapati tidak berpuasa beberapa hari? Mengapa mereka tidak berpuasa. Pada suatu hari, Aisyah ternampak Abu makan di sebalik pokok. Manakala Ali pula tertangkap oleh gurunya kerana minum air di bilik air. Aisyah pula? Adakah Aisyah berjaya puasa sebulan pada bulan Ramadan kali ini atau dia juga ponteng puasa? Apakah persiapan Aisyah Sofia dan Geng Aa-Syik sempena menyambut hari raya nanti? Sama-samalah kita baca kesudahan cerita ini dalam buku Young Aisyah: Ponteng Puasa.

Nota: Buku Ponteng Puasa ini dilengkapi sekali dengan stiker-stiker doa yang boleh diamalkan ketika bulan Ramadhan dan Syawal.

_____________________________________________________


Cuti Sekolah
Cuti sekolah yang panjang baru sahaja bermula. Aisyah Sofia merancang mengadakan aktiviti. Dia mengajak kawan-kawannya turut serta. Antara aktiviti yang mereka rancang mahu lakukan adalah mengulang kaji pelajaran bersama, menolong keluarga membuat kerja rumah, dan pergi ke perpustakaan. Pengalaman menarik Geng Aa-Syik menangkap ikan dan berkebun di Kampung Pinang Sebatang.
Cuti sekolah kali ini paling mendebarkan bagi Ali dan Abu. Mereka berdua akan berkhatan. Adakah mereka melarikan diri daripada tok mudin?

_____________________________________________________


Summer Camp
Aisyah Sofia dan kawan-kawannya menyertai perkhemahan motivasi pelajar anjuran sekolah. Perkhemahan tersebut diadakan di sebuah kawasan perkhemahan dalam hutan. Pelbagai aktiviti yang menyeronokkan diadakan. Mereka perlu melakukan pelbagai aktiviti yang mencabar seperti meredah sungai, memasak, memanjat pokok, menyediakan khemah dan sebagainya. Mampukah mereka mengikuti program itu sehingga selesai?

_____________________________________________________


Operasi 3K
Baru-baru ini, suasana kelas Aisyah Sofia gempar apabila Arif tidak hadir ke kelas. Rupa-rupanya, kawan Aisyah Sofia itu sudah dimasukkan ke hospital kerana disyaki demam denggi.
Guru kelas Aisyah Sofia pula memperkatakan tentang kepentingan menjaga kebersihan diri dan rumah. Di rumah, ayah Aisyah sibuk membersihkan sekitar kawasan rumah. Apa yang berlaku di kampung Badak Berendam?
Melihatkan keadaan itu, Aisyah dan Geng Aa-Syik mengambil langkah melaksanakan opersi 3K. Operasi 3K? Kawan-kawan mahu ikut serta?

_____________________________________________________


Catatan Aktiviti Aisyah
Mari berkongsi aktiviti bersama Aisyah. Kawan-kawan pasti teruja membacanya. Pelbagai aktiviti menarik yang Aisyah catatkan dalam buku ini. Semoga kawan-kawan mendapat manfaat dan menjadikan buku catatan ini sebagai sahabat baik pada waktu lapang.

Nota: Buku Catatan Aktiviti Aisyah ini seratus peratus berwarna.

_____________________________________________________


Tabung Raya
Suatu hari, sekeping kertas dihantar ke rumah Aisyah. Dia yang baru balik dari sekolah ternampak kertas yang diselitkan di peti surat. Aisyah membaca kertas itu dan hatinya tertarik. Dia berazam menyimpan duit bagi mendapatkannya.
Selain menyimpan duit belanja sekolah yang diterimanya, Aisyah terfikir dia perlu melakukan sesuatu supaya tabungannya penuh dan dapat membeli basikal idamannya. Basikal itu mempunyai tempoh promosi sehingga hujung Syawal. Dia susah hati duit tabungannya masih tidak mencukupi. 
Namun begitu, bagaimanakah cara Aisyah mendapatkannya?

_____________________________________________________


Kawan Baru
“Nama Khalid Al-Walid seperti aku pernah dengar. Namun begitu, di manakah pula, ya?” Aisyah Sofia berkata dalam hatinya. Nama itu menarik perhatiannya. Dia berfikir sehingga berkerut-kerut dahinya, cuba mengingatkan sesuatu. Amirah perasan dengan sikap kawannya. Dia melihat muka kawannya berkerut seperti nenek tua makan sirih. Rasa geli hati pula.
Siapakah Khalid Al-Walid? Adakah kehadirannya menggugat persahabatan Aisyah, Amirah, Abu, dan Ali? Ikuti kesudahannya dalam buku ini.

_____________________________________________________


Hari Fesyen
Umi, Aisyah belum baligh lagi. Lainlah dengan Kak Azie yang sudah baligh. Jadi, Aisyah belum wajib menutup aurat lagi, bukan?” tanya Aisyah Sofia. Dia baru berusia 10 tahun. Oleh itu, dia tidak faham mengapa dia juga perlu menutup aurat.
Puan Aminah merenung anaknya itu. Aisyah semakin bijak berfikir. Dia bersyukur kerana anaknya suka bertanya apabila tidak memahami sesuatu perkara.
“Ya, betul. Kamu belum belum baligh lagi. Tetapi, apa salahnya kamu mengamalkan apa yang disukai oleh Allah sejak kecil. Bak kata pepatah orang tua, 'alah bisa, tegal biasa'. Sekiranya kita sudah biasa menutup aurat, tidak susah untuk kita terus mengamalkannya sehingga tua. Kamu juga pasti tidak berasa kekok lagi menutup aurat. Sejak kecil lagi, kamu sudah mendapat pahala daripada Allah. Allah pasti suka, bukan?"
Aisyah Sofia mengangguk sambil tersenyum.

Nota: Buku Hari Fesyen ini seratus peratus berwarna dan saiznya lebih besar berbanding nomik Young Aisyah yang lain.

_____________________________________________________


Seronoknya Membaca
Aisyah Sofea seorang kanak-kanak yang bijak, tetapi tidak suka mengulang kaji pelajaran dan suka bermain. Dia suka bertanya, tetapi tidak suka membaca. Akibat tidak suka membaca, Aisyah bermimpi mendengar suara yang menyuruhnya rajin membaca. Suara itu berkata, “Hei budak yang bermata bundar! Kamu jangan asyik tidur sahaja. Bacalah buku sebelum buku itu dibacakan untuk kamu.’’ Sejak peristiwa itu, Aisyah mula menanam minat untuk membaca buku. Minat Aisyah semakin membuak-buak apabila ayahnya membawa Aisyah sekeluarga ke Pesta Buku Antarabangsa. Adakah minat Aisyah terhadap buku semakin bertambah?

_____________________________________________________


Sayang Umi
Aisyah Sofia sangat menyayangi uminya dan mereka berdua memang tidak dapat dipisahkan. Suatu hari apabila pulang dari sekolah, seperti biasa dia segera mahu mendapatkan uminya di rumah. Namun begitu, selepas puas mencari, dia tetap tidak menjumpai uminya. Aisyah Sofia menjadi takut. Adakah uminya diculik orang jahat ataupun makhluk asing? Apakah yang perlu dia lakukan? Dia tidak mahu tinggal sendirian.
Apakah sebenarnya yang terjadi kepada umi Aisyah Sofia? Bagaimanakah reaksi Aisyah Sofia apabila mengetahui hal yang sebenar?

_____________________________________________________


Sayang Ayah
Aisyah Sofia jarang berenggang dengan ayahnya. Apabila menerima berita ayahnya terpaksa bekerja di luar kawasan selama seminggu, dia berasa serba tidak kena. Aisyah Sofia terasa rindu. Apabila berkesempatan, Aisyah Sofia akan menelefon ayahnya untuk bertanya khabar, sekali gus dapat melepaskan kerinduan kepada ayahnya.
Tidak berapa lama lagi ialah hari lahir ayahnya. Umi Aisyah Sofia merancang mahu mengadakan majlis kesyukuran untuk ayahnya yang turut dinaikkan pangkat. Aisyah Sofia merancang mahu membuat kejutan bagi menggembirakan hati ayahnya.
Apakah kejutan itu? Apakah yang Aisyah Sofia lakukan bagi menunjukkan kasih sayang kepada ayahnya?

_____________________________________________________


Rombongan Sekolah
Murid-murid darjah 4 Anggerik terkejut apabila Cikgu Abdul Rahman mengumumkan bahawa sekolah akan mengadakan rombongan pada musim cuti akan datang. Masing-masing ada yang teruja dan ada juga yang bimbang.
Aisyah Sofia gembira, namun dia bimbang umi dan ayahnya tidak mengizinkan. Tambahan pula, dia tidak pernah mengikuti apa-apa rombongan sekolah dan berjauhan daripada keluarganya.
Semasa berada di tempat percutian, pelbagai kerenah dan gelagat kawan-kawan Aisyah Sofia yang mencuit hati.
Ke manakah Cikgu Rahman akan membawa mereka bercuti? Adakah mereka dapat mengikuti rombongan itu?

_____________________________________________________

Kepada yang berada di Semenanjung Malaysia dan mahu membeli buku-buku dalam siri ini, boleh membelinya di kedai-kedai buku berdekatan dengan harga RM12.50 (Kawan Baru, Seronoknya Membaca, Sayang Umi), RM13.50 (Buli, Juara Kampung Badak Berendam, Sayang Cikgu, Ponteng Puasa, Cuti Sekolah, Summer Camp, Operasi 3K, Tabung Raya, Rombongan Sekolah), RM14.50 (Sayang Ayah), RM15 (Pindah Rumah), RM19 (Catatan Aktiviti Aisyah) dan RM24 (Hari Fesyen).

Kepada yang berada di Sabah dan Sarawak serta mahu membeli buku-buku dalam siri ini, boleh membelinya di kedai-kedai buku berdekatan dengan harga RM14.50 (Kawan Baru, Seronoknya Membaca, Sayang Umi), RM15.50 (Buli, Juara Kampung Badak Berendam, Sayang Cikgu, Ponteng Puasa, Cuti Sekolah, Summer Camp, Operasi 3K, Tabung Raya, Rombongan Sekolah), RM16.50 (Sayang Ayah), RM17 (Pindah Rumah), RM21 (Catatan Aktiviti Aisyah) dan RM27 (Hari Fesyen).

Jika mahu lebih mudah, boleh membeli buku-buku tersebut melalui talian di sini.


Akhir sekali, kepada yang mahu membeli buku Pindah Rumah, Buli, Juara Kampung Badak Berendam dan Sayang Cikgu secara serentak di samping menjimatkan, boleh beli buku kompilasi keempat-empat buku tersebut yang berjudul Young Aisyah The Series dengan harga RM39.90 di seluruh cawangan Popular Bookstore di Malaysia atau di sini.


Jika mahu tahu juga, selain nomik Young Aisyah, siri ini juga terdapat siri komik yang tersendiri yang dilukis oleh pelukis nomik Young Aisyah itu sendiri iaitu Abang Reja. Buat masa ini, komik pertama untuk siri komik Young Aisyah yang berjudul Hari Kantin masih lagi dalam proses penerbitan. Namun begitu, jikalau komik pertama dan seterusnya sudah keluar di pasaran, sila dapatkan kesemuanya dengan harga RM9.90 (Semenanjung Malaysia) dan RM10.90 (Sabah dan Sarawak). ;)

Apa-apapun, selamat membeli dan membaca! ;)

Salam nomik,



Jumaat, 19 Jun 2015

Cik Bunga dan Encik Sombong

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Sempena bulan Ramadan yang menjelma, Astro telah membawakan satu drama baharu. Drama apa? Ikuti entri ini hingga ke penamat ya! ;)

Mungkin ramai yang sudah sesia maklum dengan nama drama ini iaitu drama Cik Bunga dan Encik Sombong. Maklum sahaja, drama ini memang menjadi bualan penduduk-penduduk Malaysia dek kisahnya yang menarik.

Sedikit pengenalan tentang drama ini.


Drama ini merupakan adaptasi daripada novel 'best seller' lagi popular, iaitu novel Cik Bunga dan Encik Sombong karya novelis hebat Airisz dan terbitan Karya Seni.

Sedikit sinopsis tentang drama ini.

Aku? Aku Intan Asnidar. Mana cantik pun. Kulit pun ala-ala hangit. Kerja di kedai bunga dengan gaji cukup-cukup makan. Tidak ada apa-apa yang istimewa tentang aku melainkan aku ada sebuah keluarga yang sangat bahagia.

Dia? Dia memang segak. Nama dia pun sedap, Harris Isqandar. Kalau sekali pandang mesti tidak mahu lepas. Kulit dia putih amat sampai mak ingat aku sudah bawa balik orang Belanda masa aku bawa dia datang kampung aku buat kali pertamanya. Tetapi tidak kisahlah semua itu, tidak penting sangat. Kemudian-kemudian nanti, rupa paras itu bakal duduk tempat keempat atau kelima.

Asal-asalnya, dia suruh aku jadi tunang terkejut dia oleh sebab gadis yang sepatutnya jadi tunang dia pada hari itu sudah lari. Okeylah sebab satu hari sahaja, kira aku tolong orang dalam darurat. Namun begitu, paling terkejut apabila dia cakap,

“Okey Intan, mulai sekarang, awak ialah tunang dan bakal isteri saya. Sekiranya ada sesiapa kacau awak, tolong jangan berahsia dengan saya sebab kita bakal menjadi suami isteri. Suami isteri tidak boleh ada sebarang rahsia.”

Terkejut amat aku. Namun begitu, sebelum itu ibu dia, Datin Nora ada beri amaran kepadaku, “Jangan mimpi mahu jadi menantu saya!”

Ah, aku pun tidak mahu jadi menantu dia! Tidak berminat langsung. Tetapi sungguhlah kata orang, kalau sudah jodoh, tentu saja tidak ke mana. Tinggal lagi, lama manakah rumah tangga tersebut bakal bertahan atau benarkah Intan Asnidar itu hak milik kekal Harris Isqandar?

Sedikit perkara tentang drama ini.


Drama baharu ini merupakan gandingan bersama pelakon meningkat naik Amar Baharin dan juga Amyra Rosli. Sebelum ini mereka pernah bekerjasama untuk drama Suamiku Encik Sotong, sebuah drama terbitan Global Station & Karya Seni, mendapat sentuhan pengarah berkaliber, Keoi Hj Khalid.

Okey, okey, sekarang saya rasa sudah cukup maklumat tentang drama ini. :)

Apapun, jangan lupa menonton drama Cik Bunga dan Encik Sombong, pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 9 malam, di Astro Prima (saluran 105) ataupun Astro Maya HD (saluran 135)!

Salam drama,



Sabtu, 13 Jun 2015

Ceria Popstar 3

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Siapakah yang kenal Ceria Popstar?
Siapakah yang mengikuti rancangan itu pada setiap minggu?
Siapakah yang menyokong peserta-peserta rancangan itu?

Yang mampu menjawab ketiga-tiga soalan itu dengan yakin, semestinya merupakan peminat tegar rancangan itu. ;)

Kepada yang tidak mengenali rancangan itu, ini sedikit ringkasan tentang rancangan yang menjadi tontonan kanak-kanak senegara Malaysia.

Ceria Popstar merupakan sebuah rancangan realiti nyanyian buat kanak-kanak berusia hingga 15 tahun. Sehingga kini, Ceria Popstar sudah bersiaran di Astro Ceria (saluran 611) dan Astro Maya HD (saluran 135) selama 3 musim dengan pengacaranya, Nabil Ahmad dan penaungnya, Datuk Aznil Haji Nawawi.

Jadi, sekarang semua sudah faham tentang konsep Ceria Popstar, bukan? Jikalau sudah faham, baguslah! Saya ada pelbagai kisah untuk diceritakan tentang rancangan ini.

Berbalik kepada topik kita.

Semua yang memang tegar dengan rancangan ini pasti menonton konsert kemuncak semalam, bukan? Pasti sudah bersiap sedia di hadapan televisyen tepat jam 9 malam. Ataupun lebih dahsyat, dari pagi hinggalah ke malam khusyuk di hadapan televisyen kerana menonton siaran ulangan Ceria Popstar yang lalu di samping menunggu konsert kemuncak bersiaran langsung pada malam itu.

Namun begitu, yang paling bertuah tentulah yang dapat menonton konsert itu di lokasi berlangsungnya konsert itu. Kenapa dikatakan bertuah? Itu sudah pasti kerana wajah-wajah para finalis lebih jelas di mata. Setiap aksi mereka yang bergerak lincah pun dapat dilihat. Lagi-lagi jika diberi peluang untuk bergambar wefie bersama peserta kegemaran. Pasti mengujakan, seolah-olah dihulurkan kontrak rumah setinggi 4 tingkat berserta keluasan tiga buah padang!

Sesungguhnya, konsert semalam merupakan konsert yang paling banyak kejutan dalam sejarah Ceria Popstar. Lebih-lebih lagi apabila Datuk Aznil Haji Nawawi mengumumkan bahawa 3 finalis yang akan berkelayakan ke pusingan kedua. Itu menambah kehangatan konsert semalam.


Apapun, seribu tahniah diucapkan buat-buat finalis Ceria Popstar 3 iaitu Adinda (tempat kelima), Dayang (juara), Fikry (tempat ketiga), Vanessa (tempat keempat) dan Zack (naib juara) kerana telah berusaha sehabis baik di konsert semalam.

Kepada yang mahu mendengar lagu-lagu baharu bintang-bintang Ceria Popstar 3, boleh dengarinya dengan menekan tajuk lagu di bawah ini.


Selamat mendengar! ;)

Salam Ceria Popstar 3,



Jumaat, 12 Jun 2015

Permulaan Kisah

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Alhamdulillah, syukur ke hadrat-Nya kerana memberi peluang untuk membina blog yang penuh keunguan semata-mata ini setelah lama bertungkus-lumus bagi menjayakannya.

Walau bagaimanapun, dengan keizinan-Nya, blog yang dibina sendiri dan mendapat sedikit pertolongan daripada enjin carian terbaik, Google ini berjaya dihasilkan. Sesungguhnya, yang baik datang daripada Allah, yang buruk datang daripada saya sendiri. ;)

Akhirnya, dapat juga saya menaip bait-bait permulaan kisah di blog ini, pada entri pertama. Segala puji bagi Allah, yang telah mengatur segala kehidupan kita ini, sama ada berlaku seperti yang dirancang ataupun tidak iaitu sebaliknya.

Tidak mahu membazir masa, selamat datang ke blog Engku Muhammad Afiq!

Seperti nama blog ini, ya, saya, Engku Muhammad Afiq. Namun begitu, janganlah pula panggil saya Engku Muhammad Afiq sepanjang perkenalan ini. Macam orang kehormat pula kerana perlu panggil dengan nama penuh dan gelaran lagi. Jadi, untuk memudahkan pengunjung sekalian, panggil sahaja Engku atau Afiq. Pilih sahaja nama yang berkenan untuk diseru, kerana kedua-duanya pun saya tetap terima seadanya.

Mungkin ada yang sudah mengenali saya tetapi bagaimanakah mereka mengenali saya? Bukankah ini entri pertama? Aduhai, banyak betul persoalannya!

Buat pengetahuan pembaca yang baru mengenali nama Engku Muhammad Afiq, sebelum ini, saya pernah memiliki sebuah blog. Namun begitu, sayangnya, nyawa blog itu tidak lama apabila saya telah memadam blog itu dari laman sesawang Internet ini.

Pasti ada yang tertanya-tanya sendiri, kenapa saya berbuat demikiannya? Jawapan untuk persoalan itu boleh dilihat melalui foto di bawah ini, yang diambil dari Facebook milik saya.

Pengisytiharan pemadaman blog lama saya. :3 :(
Sekarang, semua sudah tahu alasannya, bukan? Ya, peristiwa itu sungguh menyayat hati kerana bagi saya, itulah blog terbaik yang pernah saya ada. Namun, segalanya telah musnah. Sadisnya. :'(

Ku yang telah mengerti, betapa kuhancur bila tiadamu.
Dan ku yang telah fahami, betapa kumati tanpamu di sisi.

(Sedutan lagu Peristiwa nyanyian Sofazr bersama Asfan & RJ)

Seumpama lirik lagu itulah perasaan saya ketika blog itu tiada. Sebuah kisah yang begitu sedih. :( 

Oleh sebab itulah, saya mengambil masa lebih 2 bulan untuk membina blog yang baharu. Angin untuk membuat blog baharu bagaikan tiada kerana dalam fikiran saya, blog baharu tidak seperti blog yang lama, tidak seperti dahulu. Jadi, proses membinanya asyik tersekat-sekat, bergantung kepada angin saya pada waktu itu.

Namun begitu, alhamdulillah, blog baharu ini berjaya juga diwujudkan. Hore, seronoknya!

Dengan adanya blog baharu ini, semoga mampu mengubat kesedihan yang pernah saya alami satu ketika dahulu. Harapnya!

Jadi, dengan penuh keyakinan, saya berikrar untuk menjaga blog ini sebaiknya. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali, apatah lagi tiga kali. Harapnya dijauhkanlah! >_<

Sejujurnya, saya memang suka dan sayang akan blog. Tatkala aku sunyi, engkau mengisi waktu itu. Blog, blog, engkaulah penghibur diriku! ^_^

Apapun, semoga permulaan kisah di blog ini akan menjadi saat-saat yang semanis madu dan gula bercampur. ;)

Salam gembira,