Khamis, 31 Disember 2015

Hari Terakhir 2015

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Setelah 1 tahun mengharunginya, akhirnya, hari ini tiba juga!
Setelah 12 bulan menghadapinya, penantian ini telah pun tamat!
Setelah 52 minggu menghalangi segala ujian dan dugaan, kini diri ini berjaya sampai ke puncak!
Setelah 365 hari mengharapkannya, sesi pelabuhan tirai akan berlangsung sebentar sahaja lagi!
Setelah beribu-ribu jam, minit dan saat menghadiahkan kesabaran, alangkah bermaknanya apabila semuanya sudah berjaya!

Ya, tahun baharu 2016 akan menjenguk kita tidak lama lagi. Itu bermakna, kita akan meninggalkan tahun 2015 yang gempak. Terasa rindu pula akan tahun ini. :')

Sebelum kita melangkah ke dunia baharu 2016, marilah kita imbas kembali segala perkara yang telah berlaku pada tahun ini. Semua tentu ada pengalaman sepanjang 2015, bukan? Jika tidak ada, sila pergi jumpa doktor untuk pemeriksaan otak (melainkan anda seorang bayi, adakah anda seorang bayi?).

Oleh sebab kita semua ada pengalaman tersendiri, marilah kita imbas kembali segala detik dan kenangan sepanjang tahun ini. Tidak kira sama ada pengalaman manis atau pengalaman pahit, janji pengalaman (jika merupakan pengalaman melibatkan emosi, baik lupakannya. Nanti tertrauma pada malam tahun baharu ini).

Sekarang, mari kita imbas kembali atau orang kata #throwback.

Imbasan saya :-

Pergi Kem Permata Insan 1/2015. Oh, pengalaman yang amat manis. Dapat jumpa kawan-kawan di serata negeri. Dapat beraktiviti penuh pengembaraan, dapat belajar sambil bermain dan tentu paling seronok iaitu dapat melawat Taman Botani dan Petro Sains. Sesungguhnya, saya amat gembira berada di sini. Lagi-lagi waktu talentime. Walaupun tidak menang, perasaan puas hati ada dalam hati. Paling teruja, saya dapat berkenalan dengan anak saudara Stacy. Ya, saya dapat berkenalan dengan Stacy punya anak saudara! Dia sangat peramah dan tentu sekali berasal dari Sabah. Walaupun dia masih berada dalam tahun 3, kami boleh dikatakan agak rapat.

Masuk pertandingan pantun. Walaupun tidak berjaya ke peringkat seterusnya, tetap memuaskan hati saya kerana saya sudah melakukan yang terbaik. Alhamdulillah, saya juga dapat belajar teknik-teknik berpantun dengan lebih baik. Dapat ilmu percuma. Alhamdulillah sekali lagi.

Sertai barisan peserta Spell It Right Challenge. Memang menggembirakan! Sebelum pertandingan bermula, banyak perkataan baharu yang diajarkan oleh para guru sehingga pening-pening lalat mahu mengejanya. Walaupun tidak dapat mara ke peringkat kebangsaan, saya tetap berasa teruja.

Terpilih menjadi antara tiga yang terbaik untuk melayakkan diri ke Public Speaking Competition. Namun begitu, tidak terpilih pula. Sedih. :(

Keputusan peperiksaan 5A sahaja sepanjang peperiksaaan tahun ini.  Itulah yang membuatkan saya gembira bukan kepalang. Alhamdulillah juga kerana saya dapat tahu bahawa saya mendapat 8A untuk UPKK tahun lalu.

Stres UPSR. Memang tidak dapat dinafikan, saya amat stres pada waktu itu. Saya perlu membaca setiap bab pelajaran. Paling utama, Bahasa Inggeris dan Sains. Memang memeningkan. Memang menyerabutkan. Sungguh meletihkan tetapi hasilnya memang memberangsangkan apabila saya mendapat 5A.

Bertemu antara penulis kegemaran saya, Kak Ain Maisarah, Abang Azanil Fitri, Abang Aman Wan dan Kak Hazira Hanapi ketika PBAKL 2015 tempoh hari. Dapat juga beramah mesra bersama Kak Farrah Hana, Kak Farrah Hani, Kak Wan Nur Shafiqah dan Azim Hakimi ketika Road Tour PTS baru-baru ini. Memang mengujakan.

Rombongan ke Kuala Lumpur bersama kawan-kawan. Ke Sunway Lagoon, Berjaya Times Square, Alamanda dan KidZania. Memang menceriakan hari-hari sepanjang di sana. Hore, teruja dan gembira!

Paling teruja, dapat menulis novel sendiri yang berjudul Miss Blogger. Saya juga dapat menjadi antara penulis buku Tunas Super Storymorie Certot #1: Antologi Cerita Kontot. Alhamdulillah, ada dua rezeki yang tidak disangka-sangka pada tahun ini.


Sudah, ini sahaja imbasan saya sebelum saya mengembara lebih jauh lagi. Tentu lebih parah dan lebih panjang entri ini.

Imbasan semua pula bagaimana? Baik? Okey atau buruk? Apa-apapun, semoga menceriakan hidup anda kerana dapat mengingati kembali segala perkara dalam tahun 2015.

Keep calm, guys! ^_^

Sekarang, marilah kita melangkah ke kehidupan baharu pada tahun baharu dengan angka baharu, 2016. Go 2016 go! Do the best in 2016 and never give up!

p/s: Ayat paling popular pada setiap pengakhiran tahun:

Jangan masuk ke dalam tandas pada 31 Disember 2015 waktu 11.59 malam! Kemungkinan besar, anda akan keluar pada tahun hadapan!

Salam hari terakhir 2015,



Khamis, 24 Disember 2015

Gadis Piano

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Baru-baru ini (sejujurnya, tahun lalu :3), saya berasa agak bosan. Bagi mengisi masa itu, saya curi-curi masuk ke dalam bilik kakak saya dan mencari buku menarik yang disimpan oleh kakak saya dalam raknya. Selepas lama memilih, saya terpesona dengan sebuah buku berkulit hijau yang berjudul Gadis Piano hasil karya Riha. J.

Gadis Piano
(Riha. J)

Deeya dan piano ibarat irama dan lagu, tidak dapat dipisahkan. Piano mengingatkan Deeya memori bermain piano bersama bapanya sewaktu kecil. Deeya menyertai pertandingan piano di sekolahnya dan pada pertandingan itu Deeya bertemu sahabat piano baharunya, Ezudin. Namun, Deeya disobotaj dalam pertandingan itu. Siapa yang mensabotaj Deeya? Mengapa? Deeya tiada musuh!
 
Deeya dan kakaknya, Nili ditimpa musibah semasa bercuti di kampung. Musibah itu mengubah keseluruhan hidup Deeya dan kecintaannya terhadap piano.
 
Deeya berhijrah ke Kanada dan beroleh semangat yang membara, Deeya kembali ke Kuala Lumpur.
 
Soalnya, bersediakah Deeya mengalunkan irama di hujung jari-jemarinya semula?


Sejujurnya, saya amat menyukai jalan cerita dan gaya penulisan yang diterapkan dalam buku ini selepas saya membacanya. Novel ini memang agak sedih dan mampu mengalirkan setiap pasang mata yang membacanya. Saya juga telah meminjamkan buku ini kepada dua orang kawan saya dan memang tidak dapat dinafikan lagi, novel ini memang menyayat hati sesiapa sahaja. Bahasanya juga berbunga-bunga lantas menambahkan lagi minat setiap pembaca untuk meneruskan sesi pembacaan.

Dalam buku ini juga telah mengajar erti kasih sayang dan persahabatan antara kawan dan keluarga. Walaupun pada awalnya ada pahitnya, namun begitu, pada akhirnya, insya-Allah kedukaan akan berganti menjadi kegirangan tahap maksimum. Sebenarnya, saya agak kagum dengan semangat watak utama buku ini iaitu Deeya kerana ketabahannya walaupun ditimpa pelbagai musibah sepanjang cerita ini. Walau bagaimanapun, hidup Deeya bagaikan disinari lampu pada penamatnya. Alhamdulillah!

Apapun, saya mahu mengajak setiap pembaca entri ini untuk membeli buku ini. Marilah kita bersama-sama membeli buku ini kerana penulis ini baru sahaja berusia 13 tahun ketika novel ini diterbitkan! Memang hebat, bukan? Jadi, marilah sokong karya penulis ini. Insya-Allah, masih ada di pasaran walaupun sudah lama diterbitkan. Jikalau tiada, bolehlah beli dalam talian. Semoga diketemukan dengan buku ini. ;)

Salam piano,



Isnin, 21 Disember 2015

Pemilihan Sekolah 2016

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Antara aktiviti paling akhir selepas UPSR merupakan pemilihan sekolah kita pada tahun hadapan. Tidak mungkinlah mahu kekal bersekolah di sekolah rendah walaupun sebolehnya, mahu sahaja kejadian berlaku sedemikian. Maklumlah, sudah menjadi lumrah pelajar tahun enam tidak mahu tinggalkan sekolah. Rindu sekolah, rindu cikgu, rindu kawan. Rindu semuanya! >_<

Namun begitu, kita tetap perlu bertukar sekolah. Kebiasaannya, para ibu bapa dan gurulah yang paling sibuk membuat permohonan sekolah untuk kita. Mereka sebolehnya mahu kita semua mendapat sekolah yang terbaik, setaraf dengan prestasi kita. :D

Selepas permohonan telah dibuat, kita ini hanya perlu bersabar dan menunggu keputusannya. Jika diterima, ucaplah alhamdulillah tanda kesyukuran. Jika ditolak, kekal reda dan masih sabar menanti keputusan untuk sekolah yang lain pula. ;)

Oleh sebab sesi persekolahan 2016 hampir bermula, pasti hampir semua pelajar tahun enam telah pun mengetahui keputusan untuk permohonan yang telah dibuat, bukan? Kepada yang belum, kekal berdoa kepada-Nya. :)

Sebenarnya, saya agak berdebar kerana untuk permohonan MRSM, saya langsung tidak mendapat apa-apa temu duga sedangkan kawan-kawan saya siap seronok hebohkan dalam kumpulan WhatsApp lagi. Untuk permohonan SBP pula, saya agak terkilan kerana permohonan saya tidak diterima tetapi saya menerimanya sebagai cabaran kehidupan. ;)

Alhamdulillah! ^_^

Kemudiannya, saya memanjatkan kesyukuran kepada-Nya kerana permohonan saya ke sekolah kawalan telah pun berjaya. Walaupun tidak mendapat sekolah pilihan pertama saya iaitu SMK Dato' Ahmad Maher, saya tetap gembira kerana sekolah pilihan kedua saya telah pun berjaya iaitu SMKA Falahiah yang terletak di Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Kelantan. ^_^

Saya juga agak gembira kerana rakan-rakan saya juga telah mendapat sekolah yang diinginkan oleh masing-masing. Pelbagai sekolah yang mereka dapat seperti SMS Tengku Muhammad Faris Petra, SMA Tengku Amalin A'Ishah Putri, SMK Dato' Ahmad Maher (walaupun saya tidak dapat, saya tetap gembira kerana rakan saya dapat :D) dan Maktab Sultan Ismail. Walaupun ada beberapa rakan saya yang tidak masih tidak mendapat apa-apa tawaran ke mana-mana sekolah, saya tetap berharap mereka semua akan mendapat sekolah yang terbaik buat mereka. :)

Kepada yang lain, dapat atau tidak? Jika ya, tahniah dan alhamdulillah. Jika tidak, tidak mengapa, insya-Allah akan dapat juga nanti. Jikalau harus juga ke sekolah saluran sekalipun, mungkin itu hanya sementara dan mungkin itu ialah sekolah terbaik buat anda. ;)

Apapun, saya mendoakan kepada semua agar mendapat sekolah yang diingini. Belajar rajin-rajin pada sesi persekolahan 2016 nanti. Teruskan usaha, ya. :D

Salam sekolah,



Isnin, 14 Disember 2015

Doraemon

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Sebagai seorang yang pernah dan masih bergelar seorang kanak-kanak, pasti kita semua menggemari rancangan kartun. Kartun memang menarik dan sentiasa menghiburkan para penontonnya. Walaupun kartun hanyalah cerita fiksyen dan rekaan semata-mata, kartun tetap dapat membuatkan kita berasa geli hati.

Logo Doraemon

Dalam hidup ini, sesiapa yang tidak pernah menonton kartun Doraemon memang boleh dianggap sebagai penipuan besar. Kartun yang berasal daripada komik ini sudah lama dikenali (sejak saya belum dilahirkan lagi!). Kartun ini telah melahirkan jutaan peminat yang semakin meningkat dewasa tetapi tetap menarik perhatian setiap golongan umur.

Saya Doraemon. Selamat berkenalan! ^_^

Kartun ini dibintangi watak utama iaitu Doraemon. Doraemon merupakan sebuah robot kucing yang menjadi pembantu Nobita. Doraemon dihasilkan di kilang robot pada 3 September 2112. Pada asalnya, Doraemon mempunyai sepasang telinga tetapi telah dimakan oleh robot tikus. Disebabkan kejadian itu, Doraemon teramat takut apabila berhadapan dengan tikus walaupun Doraemon merupakan sebuah robot kucing. Doraemon teramat menggemari kuih dorayaki. Ramai yang menganggap bahawa nama kuih tersebut merupakan asal-usul nama Doraemon tetapi tanggapan itu salah.

Saya Nobita. Semoga kita akan terus berkawan sepanjang hayat. :)

Doraemon dikehendaki membantu manusia dari masa yang lepas yang bernama Nobi Nobita. Nobita merupakan putera kepada pasangan Nobi Nobisuke dan Nobi Tamako. Nobita mempunyai pelbagai sifat yang tidak membanggakan seperti malas, tidak cerdik, sering bernasib malang dan lemah dalam pelbagai perkara. Dalam kartun ini, Nobita sering datang lewat ke sekolah, dimarahi guru, mendapat markahh kosong dan dibuli rakannya. Walaupun begitu, Nobita teramat mahir dalam seni bunga tali. Nobita juga mementingkan keadilan dan sanggup berkorban nyawa untuk menyelamatkan orang lain. Datuk Nobita (sebelah ayah) meninggal sebelum dia dilahirkan lagi manakala nenek Nobita (sebelah ayah) meninggal ketika dia masih kecil. Pada masa akan datang, dia berkahwin dengan Minamoto Shizuka dan mendapat cahaya mata yang diberi nama Nobi Nobisuke. Nobita juga mempunyai keturunan pada masa akan datang yang bernama Nobi Sewashi. Sewashi ialah orang yang membeli Doraemon dan menghantarnya ke zaman Nobita.

Saya pula Shizuka. Semoga persahabatan kita akan berkekalan. :D

Nobita mempunyai seorang rakan sekelas yang bernama Minamoto Shizuka. Shizuka merupakan anak kepada Minamoto Yoshio dan dikenali semua dengan sifatnya yang cantik, bijak serta baik hati. Sifat itulah membuatkan Nobita jatuh hati kepada Shizuka tetapi perlu berlawan dengan rakan sekelasnya sendiri iaitu Dekisugi. Dekisugi sering mendapat perhatian lebih daripada Shizuka berbanding Nobita. Itu membuatkan Nobita sering dengki dan menjadikan Dekisugi sebagai saingannya. Walaupun begitu, Shizuka akan berkahwin dengan Nobita pada masa akan datang dan mendapat anak yang bernama Nobi Nobisuke.

Saya Suneo. Harap kita akan terus berhubung walaupun berjarak jauh. ^_^

Nobita juga mempunyai seorang rakan sekelas yang bernama Honekawa Suneo. Suneo merupakan anak orang kaya yang sering berlagak dengan harta bendanya. Suneo sering rapat dengan Giant dalam membuli rakan-rakannya agar dirinya tidak dibuli. Suneo mempunyai seorang adik lelaki bernama Honekawa Sunetsugu. Sunetsugu kini sedang menetap bersama bapa saudaranya di New York. Suneo mempunyai seorang sepupu yang bernama Honekawa Sunekichi. Pada masa akan datang, Suneo akan mendapat anak yang bernama Honekawa Sunetaro. Sunetaro sering dibuli oleh Nobisuke pada masa akan datang.

Saya Giant (jangan tertukar dengan pasar raya Giant pula!). Semoga kita kekal berbaik sepanjang perkenalan kita. :) 

Nobita juga mempunyai seorang lagi rakan sekelas yang merangkap pembuli setianya. Namanya Goda Takeshi tetapi dikenali dengan nama Giant. Giant dikenali sebagai kaki buli oleh rakan-rakannya. Walaupun begitu, dia teramat takut akan ibunya sendiri. Giant juga mempunyai hobi iaitu menyanyi tetapi nyanyian tidak digemari oleh semua rakan-rakannya. Giant turut mempunyai seorang adik perempuan bernama Goda Jaiko. Adiknya teramat gemar melukis dan bercita-cita mahu menjadi pelukis komik. Ramai yang menganggap bapa Giant sudah meninggal. Sebenarnya, bapanya masih hidup, cuma jarang muncul (ala-ala penampilan istimewa :3).

Saya Dekisugi. Harap kita tidak akan lupa antara satu sama lain. :D

Nobita teramat tidak suka akan rakan sekelasnya yang bernama Dekisugi kerana Dekisugi merupakan seorang yang baik dan cerdik. Oleh sebab itulah, Shizuka suka akan Dekisugi. Pada masa akan datang, Dekisugi akan mendapat anak yang bernama Hideyo.

Lagu pembukaan kartun Doraemon amat digemari semua orang. Walaupun lagunya dalam bahasa Jepun, peminat yang berada di negara lain amat meminatinya. Kamu semua boleh mendengar lagu pembukaan kartun Doraemon di sini. Selamat mendengar!

Apapun, saya harap kartun ini akan terus membungai hari-hari setiap kanak-kanak di seluruh dunia buat selama-lamanya. ;)

Poster Doraemon The Movie: Stand By Me

p/s: Sebelum saya terlupa, jangan ketinggalan filem Doraemon: Stand By Me di Astro Ceria (saluran 611) pada hari Sabtu ini (19 Disember 2015) pada pukul sembilan malam. Filem ini akan menghuraikan sejarah awal hingga terakhir Doraemon dalam membantu Nobita. Selamat menonton! ^_^

Salam kartun Doraemon,



Rabu, 9 Disember 2015

Bertemu Penulis

Assalamualaikum dan salam sejahtera. ^_^

Jika anda merupakan seorang ulat buku yang tegar, anda pasti teruja saat bertentang mata bersama penulis-penulis kegemaran. Walaupun sekadar penulis dan bukanlah selebriti antarabangsa ataupun tempatan, perasaan itu akan rasa sangat-sangat gembira. Kalau mampu, mahu sahaja menjerit sepuas-puasnya. Kalau anda rasa seperti itu (saya pun sama), anda memanglah ulat buku yang sejati. :D

Baru-baru ini pada 5 Disember 2015, saya telah pun bertemu empat penulis novel yang amat saya kagumi kerana cerita yang ditulis oleh mereka berempat begitu menarik minat saya. Bertempat di KB Mall, SMO Bookstores menjadi saksi pertemuan kami.

Kisahnya bermula begini. Sebagai seorang ulat buku, saya sering mengikuti perkembangan syarikat penerbitan dan para penulis kegemaran saya melalui Facebook, Instagram dan blog. Jangan tidak tahu, saya telah menetapkan bahawa setiap kali syarikat penerbitan dan penulis itu menghantar kiriman atau gambar terbaharu, saya akan mendapat makluman melalui notifikasi Facebook. Jadi, tanya sahaja apa perkembangan terkini syarikat dan penulis tersebut, insya-Allah saya dapat menjawabnya dengan lancar. :3

Gambar pemberitahuan

Antara syarikat penerbitan dan penulis tersebut ialah PTS One. Suatu hari, PTS One telah memuat naik gambar di atas. Gambar di atas begitu mengujakan saya. Tanpa berfikir melebihi sekali, saya segera memberitahu ayah saya untuk meminta kebenaran. Alhamdulillah, ayah saya benarkan. Jadi, begitu berbunga-bunga hati saya tidak sabar menanti 5 Disember.

Apabila tiba 5 Disember, saya bersiap terlalu awal meskipun sesi bermula pukul 12 tengah hari. Namun begitu, semangat manusia bukanlah jujur sangat. Nampak sahaja sebelum pukul lapan sudah bersiap tetapi pukul 12.45 barulah saya tiba di KB Mall. Begitu tergesa-gesalah ke SMO Bookstores (di mana sesi itu berlangsung), risau jikalau sesi sudah pun tamat. >_<

Namun begitu, saya begitu bernasib baik. Ketika saya memasuki kedai buku ternama di Kelantan itu, keempat-empat penulis (Farrah Hana, Farrah Hani, Wan Nur Shafiqah dan Azim Hakimi) itu masih ada lagi. Kru PTS yang bertugas pun ada juga berkata yang masa untuk sesi itu berlangsung masih tinggal lima minit lagi. Jadi, saya masih sempat walaupun masa semakin suntuk. Alhamdulillah. :D

Apabila berada berhadapan dengan mereka berempat, saya rasa berdebar-debar sedikit walaupun mereka ini lebih kurang sebaya dengan saya sahaja (penulis Tunas Superlah katakan). Saya bertanya kepada salah seorang daripada mereka, "Mahu minta tandatangan, boleh?" Buat seketika, saya rasa, apa punya soalanlah yang saya beri ini. Nama pun sesi ramah mesra bersama penulis. Mestilah boleh minta tandatangan sekali. Lainlah kalau terjumpa penulis ini sedang menikmati roti canai mamak di kedai sebelah rumah saya, barulah perlu tanya. :3

Mujur sahaja penulis itu menjawab dengan positif. Saya pun apa lagi, terus mengeluarkan semua buku yang ditulis oleh mereka dan meletakkannya di atas meja (oh, lupa mahu beritahu yang saya ada bawa satu beg yang dipenuhi buku-buku yang ditulis oleh mereka berempat semata-mata). Ketika mereka sedang menandatangani buku-buku tersebut, pasangan kembar penulis iaitu Farrah Hana dan Farrah Hani ada bertanya tentang nama saya. Apabila saya menjawab, mereka pun terus mengecam nama saya. "Yang di Instagram itu, bukan?" Aduhai, malunya kerana mereka kenal saya! Bukannya malu sebab apa, tetapi disebabkan muka saya memang berbeza jika dibandingkan dengan gambar profil Instagram saya. Oleh sebab itulah mereka tidak dapat cam awal-awal. >_<

Selepas itu, saya sempat bergambar bersama mereka sebagai kenang-kenangan. Berikut merupakan gambar ketika sesi tersebut.

Gambar pertama

Gambar kedua

Apabila pulang ke rumah, saya begitu teruja. Bukan setakat mendapat tandatangan daripada mereka semua, bertemu juga. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. ^_^

Sebenarnya, sebelum ini, saya juga pernah bertemu beberapa orang penulis lain. Berikut merupakan senarai penulis yang saya pernah bertemu (termasuk keempat-empat mereka di atas):-

  • Ain Maisarah
    - penulis novel best seller ~ Aku Mahu Popular, Aku Mahu Saiz S dan Aku Mahu Teman Tapi Mesra
    - penulis novel diadaptasi ke bentuk telefilem ~ Aku Mahu Superbibik, Aku Mahu Ke New York 1 dan Aku Mahu Ke New York 2
    - penulis novel diterjemahkan ke bahasa Inggeris ~ Aku Mahu Ke New York 1 dan Aku Mahu Ke New York 2

Bersama Kak Ain ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 (PBAKL 15)

  • - pelukis siri nomik best seller ~ Lawak Sekolah
    - penulis novelet seram terbaharu ~ Lembaga Kerusi Belakang

Bersama Abang Aman ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 (PBAKL 15)

  • - penulis novel ~ Aku Mahu Jadi Hijabistar dan Aku Mahu Jadi Selfiestar

Bersama Kak Ira ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 (PBAKL 15)

  • - penulis siri novel best seller ~ Hero Sri Bangsar
    - penulis siri nomik best seller ~ Lawak Sekolah
    - penulis siri nomik ~ Lawak Hero
    - penulis siri novelet terbaharu ~ Hantu Mahu

Pernah berjumpa dan minta tandatangan ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 15) tetapi tidak sempat bergambar :'(

  • - penulis novel best seller ~ Aku Mahu Banglo Pink
    - penulis novel ~ Projek Dekor-dekor Ain Maisarah

Pernah ternampak tetapi tidak berani mahu tegur :3


Seperti tadi, sekadar ternampak tetapi tidak berani tegur :3


Macam tadi, hanya ternampak tetapi tidak berani tegur :3

p/s: Itu hanyalah kostum semata-mata dan bukannya diri beliau yang sebenar, ya >_<

  • - pelukis siri nomik best seller ~ Young Aisyah
    - pelukis siri komik best seller ~ Shootz!
    - pelukis siri komik ~ Young Aisyah The Comic

Pernah berjumpa ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 (PBAKL 15) tetapi tidak sempat minta tandatangan dan bergambar :'(

  • - penulis novel ~ 1, 2, 3... Say Cheese!
    - penulis antologi cerpen ~ Komplot Menulis: Kompilasi Cerpen GMM
Sekali lagi, cuma ternampak tetapi tidak berani tegur :3

  • - penulis novel ~ Miss Fashionista dan Fairies of Carina
    Bersama Kak Hana ketika Road Tour PTS 2015

    p/s: Cuba teka, mana satukah Kak Hana? :p

  • - penulis novel ~ Annyeonghaseyo! dan S.P.Y Junior
    Bersama Kak Hani ketika Road Tour PTS 2015

    p/s: Cuba teka, mana satukah Kak Hani?

  • Azim Hakimi
    - penulis novel ~ Misi Magika

    Bersama Azim ketika Road Tour PTS 2015

  • - penulis novel ~ Allysia Fantasia
Pernah berjumpa dan minta tandatangan ketika Road Tour PTS 2015 tetapi tidak sempat bergambar :'(

Akhirnya, habis juga senarai penulis yang saya pernah temui (walaupun kebanyakannya tiada bukti bergambar). Saya harap dapat bertemu lebih banyak lagi penulis kegemaran saya. ^_^

Apapun, saya doakan agar anda semua menemui idola kegemaran anda semua, tidak kiralah sama ada beliau merupakan penulis, pelukis, selebriti, penyanyi dan sebagainya. ;)

Salam bertemu penulis,



Selasa, 24 November 2015

Menjelmanya Cuti Sekolah!

Assalamualaikum dan salam sejahtera. ^_^

Setelah 10 bulan menghadap buku di sekolah, akhirnya, tiba juga musim cuti sekolah yang memang dikhaskan buat kita sebagai pelajar sekolah. Tiba-tiba, terasa dihargai pula. Seakan-akan usaha dan penat lelah selama ini diberikan ganjaran yang amat berbaloi. :)

Sekarang, saya mahu tanya, apakah aktiviti yang mahu dilakukan sepanjang cuti ini? Tidak mungkinlah mahu terperap dan memeram peluh sahaja di dalam bilik (atau lebih dikenali sebagai mereput :3) selama lebih sebulan ini. Itu kerja tidak munasabah namanya. >_<

Walau apapun aktiviti yang sudah dirancang, semoga aktiviti itu bermanfaat. Hindarkan aktiviti yang langsung tidak berfaedah dan galakkan perkara yang membawa kebaikan buat diri dan semua. Jangan layan Facebook sahaja sepanjang cuti ini. Cubalah keluar melihat dunia yang terbentang luas ini. ;)

Apapun, saya mahu tanya juga, sebelum cuti, pasti semua pelajar sekolah telah menduduki ujian akhir tahun, bukan? Kepada pelajar tahun enam pula, pasti sudah mengambil keputusan UPSR pada hari Selasa yang lepas, bukan? Jadi, apakah keputusan ujian akhir tahun dan UPSR anda semua? Semoga semuanya mendapat keputusan yang baik-baik sahaja. ^_^

Oleh sebab saya ini juga merupakan pelajar tahun enam, saya juga mesti telah mengetahui keputusan UPSR saya. Alhamdulillah, saya telah mendapat 5A (rasa tidak percaya juga kerana soalan UPSR kali ini bukan main susah dengan unsur KBAT dalam setiap soalan tetapi saya yakin, saya dapat 5A pun kerana gred telah pun diturunkan). :)

Selamat maju jaya! ^_^

Kepada murid tahun enam semua, sudah merancangkan mahu bersekolah di mana? Mahu bersekolah asrama penuh ataupun sekolah harian seperti biasa? Mungkin juga mahu ke sekolah berprestasi tinggi atau MRSM? Walau bagaimanapun, saya berharap sekolah yang akan menjadi lokasi ketiga kita menimba ilmu (selepas tadika dan sekolah rendah) ini akan menjadikan kita sebagai seorang insan berguna dunia dan akhirat. ;)

Apapun, saya ucapkan selamat bercuti kepada semua pelajar dan semoga berjaya kepada calon SPM 2015 yang masih lagi menduduki peperiksaan genting. ;)

Salam bercuti,



Isnin, 16 November 2015

Sehari Sebelum Keputusan UPSR

Assalamualaikum dan salam sejahtera. ^_^

Sedar tidak sedar, esok akan diumumkan secara rasminya keputusan UPSR 2015. Saya sebagai calon UPSR tahun ini pastinya berdebar-debar dan berasa gementar. Saya dapat rasakan hati saya berdegup kencang mengalahkan kereta Formula 1 yang memecut laju di litar perlumbaan. >_<

Cooking is my secret talent. (ceh!) >_<

Ketika masih berbaki lebih kurang 24 jam lagi untuk berasa berdebar, kelas saya iaitu kelas 6 Bestari sibuk memasak barbeku di garaj sekolah. Termasuk kali ini, ini merupakan kali kedua kami memasak. Memang seronok aktiviti ini kerana kami dapat menikmati makanan yang dimasak sendiri. Lebih-lebih lagi apabila sudah penat memasak sehinggakan waktu makan terlewat daripada jadual (oleh sebab ayam masih belum siap dibakar!). Walau bagaimanapun, kami semua tetap menikmati hidangan barbeku ini. Memang menggembirakan dapat makan bersama-sama di garaj sekolah ala-ala berkelah (kebetulan kedudukan garaj berhadapan dengan padang, jadi angin sepoi-sepoi bahasa dapat dirasai). ^_^

Tidak dilupakan juga, apabila ayam, sosej dan nuget yang dibakar berbaki berpuluh-puluh lagi, kami tanpa sedikit pun perasaan kedekut apatah lagi bakhil mengajak para guru untuk menikmati lebihan makanan itu (tanda menghargai jasa guru yang mengajar selama enam tahun). Lebih mengejutkan, setiap pelajar tahun satu hingga lima yang melewati garaj sekolah dan juga padang ditawarkan makanan-makanan tersebut secara percuma, sehinggakan murid prasekolah yang baru sahaja tamat sesi persekolahan juga dihulurkan makanan kepada setiap seorang. Membuatkan semua orang tergelak, para pelajar yang ditawarkan makanan itu bukannya menerima tetapi menolak bahkan melarikan diri pula lalu membuatkan para pelajar kelas saya dengan gaya agresif mengejar pelajar tersebut bagi memaksa mereka menerima makanan yang diberikan. Memang patut pun pelajar tersebut melarikan diri, mungkin takut akan para pelajar kelas saya yang seakan-akan terlampau terdesak mengharapkan makanan diambil dan diterima dengan perasaan teruja. :3

Selepas mengemaskan barang-barang masakan dan juga tikar, semua pelajar sibuk ke tengah padang atas satu niat. Bukannya mahu bergiat aktif dengan gaya atlet handalan negara tetapi segera mengeluarkan telefon dan monopod yang dibawa bagi mengambil gambar wefie bersama-sama. Kata mereka, sebagai gambar kenangan apabila sudah meninggalkan satu sama lain. Lagipun, kami semua memang bercadang untuk mengambil gambar wefie setiap masa dan ketika berdasarkan jadual berikut:

  • Sebulan sebelum UPSR (check!)
  • Seminggu sebelum UPSR (check!)
  • Sehari sebelum UPSR (check!)
  • Sejam sebelum UPSR (check!)
  • Sejam selepas UPSR (check!)
  • Sehari selepas UPSR (check!)
  • Seminggu selepas UPSR (check!)
  • Sebulan selepas UPSR (check!)
  • Sebulan sebelum keputusan UPSR (check!)
  • Seminggu sebelum keputusan UPSR (check!)
  • Sehari sebelum keputusan UPSR (check!)
  • Sejam sebelum keputusan UPSR
  • Sejam selepas keputusan UPSR
  • Sehari selepas keputusan UPSR
  • Dua hari selepas keputusan UPSR

Amboi, begitu banyak sekali jadual wefie! Kalau boleh, seminit sebelum dan selepas keputusan UPSR pun mahu diambil juga. :3

Jika tidak dapat hadir ke sekolah esok, inilah cara untuk mendapatkan keputusan UPSR dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas

Apapun, nanti apabila hadir ke sekolah, tenanglah sahaja, ya. Jangan terlampau gementar atau rungsing. Biar kita lalui saat-saat genting ini dengan penuh ketenangan walaupun keputusan kita bukan seperti yang diharapkan. Walau bagaimanapun, saya amat mendoakan agar semua calon UPSR 2015 akan mendapat keputusan UPSR yang amat cemerlang. ;)

Salam sehari sebelum keputusan UPSR,



Rabu, 11 November 2015

Majlis Graduasi

Assalamualaikum dan salam sejahtera! ^_^

Pada hari 4 November 2015 (Rabu) yang lalu, sekolah saya telah pun diadakan majlis graduasi buat para pelajaran tahun enam yang akan meninggalkan alam sekolah rendah tidak lama lagi. Berlokasi di Dewan Besar, Balai Islam Lundang, majlis ini dimeriahkan lagi apabila akan dirasmikan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Jaafar bin Ismail (Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan).

Keadaan di dalam dewan ketika majlis berlangsung

Selepas ketibaan Yang Berusaha Tuan Haji Jaafar bin Ismail, dengan gaya ala-ala penyanyi koir tidak dirancang, semua yang berada di dalam dewan itu menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh bersemangat tanda menghormati lagu kebangsaan yang sudah berdekad-dekad menjadi lagu yang sentiasa berada dalam hati semua rakyat Malaysia. Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Ustaz Shaiful Irwan selaku antara guru cemerlang di sekolah saya.

Seterusnya, pengerusi majlis mempersilakan Yang Berusaha Tuan Nawi bin Mohamad (Guru Besar sekolah saya) untuk menyampaikan ucapan beliau. Ucapan yang mempunyai makna mendalam kami sematkan dalam jiwa kami agar setiap kata-kata beliau akan kekal dalam ingatan kami.

Sejurus itu, dijemput Yang Berusaha Tuan Haji Jaafar bin Ismail bagi memberi ucapan lalu merasmikan majlis graduasi tersebut. Alhamdulillah, tanpa sebarang kesilapan, perasmian oleh beliau telah berjalan dengan lancar.

Sebaik itu, acara penyampaian hadiah kepada murid-murid tahun enam yang cemerlang 8A dalam UPKK 2014. Seramai 20 puluh lebih (saya tidak ingat berapa :3) telah disampaikan hadiah yang berupa sampul yang berisi sesuatu. Apakah isinya? Biarlah rahsia. Hehehe. :p

Aduhai, berderbarnya!

Cuba berlagak tenang walaupun hati berdegup kencang

Kenalah senyum secomel mungkin. Barulah berbaloi bayar RM10 semata-mata untuk gambar

Hore, dapat sijil!

Muka yang tersenyum kekok apabila jurugambar tiba-tiba muncul di belakang pentas

Berlari mengejar impian

Aduhai, panasnya! Buka topilah dahulu.

Senyum itu sedekah walau di mana jua kita berada

Kemudiannya, sesi penyampaian graduasi kepada murid-murid tahun enam diadakan. Bermula dengan kelas 6 Usaha sehinggalah kelas 6 Bestari. Seramai 219 orang murid diberikan sijil tamat sekolah rendah (meskipun isinya adalah kosong sebenarnya :3).

Muka cuak sedikit kerana selepas ini perlu beratur lagi untuk mengambil anugerah

Aku dapat anugerah lagi ke tidak selepas ini? Hmm.

Setelah dua ratus lebih murid diberikan segulung sijil setiap seorang, acara penyampaian anugerah kecemerlangan kokurikulum kepada murid-murid tahun enam yang telah mengharumkan nama sekolah dalam kurikulum dan koakademik. Begitu ceria pelajar yang dipanggil nama dan pastinya yang lebih teruja apabila nama disebut berulang kali. Wah, semakin banyaklah anugerah yang didapati!

Tokoh akademik tahun ini, Muhammad Azimuddin dan Nur Insyirah. Tahniah, ya!

Selepas itu, nama-nama untuk tokoh akademik berserta anugerah terbaik mata pelajaran. Sungguh bertuah, pelajar yang mendapat anugerah terbaik mata pelajaran Bahasa Melayu: Pemahaman juga mendapat anugerah terbaik mata pelajaran Bahasa Melayu: Penulisan (kata pengacara majlis, pasti pelajar ini gemar berbahasa). Lebih mengagumkan, pelajar itulah yang mendapat gelaran tokoh akademik (lelaki) tahun ini. Buat semua terpukau seketika, apabila pelajar yang mendapat anugerah terbaik mata pelajaran Sains juga memperoleh anugerah terbaik mata pelajaran Bahasa Inggeris, berserta gelaran tokoh akademik (perempuan tahun ini). Wah, memang patut pun dapat gelaran itu! Maklum sahaja, dapat dua anugerah terbaik mata pelajaran serentak. Orang lain mahu dapat satu pun sukar, tetapi mereka pula dapat sambar kedua-duanya serentak. Wah, hebat betul! :)

Tokoh sahsiah (lelaki), Wan Ahmad Zhariff

Tokoh sahsiah (perempuan), Nur Aifaa Fatihah

Tokoh sahsiah diri (perempuan), Rabiatul Adawiyah

Kemudiannya, nama-nama untuk tokoh yang seterusnya pula disebut, iaitu tokoh kokurikulum, tokoh sahsiah dan tokoh sahsiah diri. Sedikit malu bagi pelajar yang mendapat tokoh sahsiah dan tokoh sahsiah diri kerana tidak sangka pula mereka akan mendapat gelaran sebegitu. Bagi mereka yang mendapat gelaran sahsiah terbaik, mereka rasa ada ramai lagi pelajar yang lebih layak daripada mereka. Namun begitu, apabila sudah dapat, terima sahajalah. Mana mungkin mahu membangkang penganugerahan tersebut. :3

I am ready!

Pagi ini kita punya!

Seterusnnya, pengacara majlis mrenjemput pasukan koir sekolah membuat persembahan. Begitu riuh keadaan dalam dewan dengan pujian kepada pasukan koir yang begitu bersemangat mendendangkan lagu Knock Knock nyanyian asal Elizabeth Tan dan lagu Seluruh Cinta dendangan asal Datuk Siti Nurhaliza bersama Cakra Khan. Sebaik tamatnya persembahan hebat itu, pasukan dikir barat sekolah memanipulasi pentas. Begitu ceria semua hadirin yang datang dengan persembahan yang begitu mencuit hati mereka.

Pandang kamera, semua

"Awak semua sudah sediakah?" tanya seorang pelajar sambil menoleh kepala ke belakang.

Bergaya sebaik mungkin

Ala-ala gambar kelas

Ala-ala gambar kelas bersama guru kelas (yang terlampau ramai) pula

Hore, dapat juga baling topi graduasi!

Selepas itu, majlis melabuhkan tirainya dengan menjemput para hadirin menghadiri jamuan yang diadakan. Tatkala para hadirin sibuk menikmati makanan, para guru yang terlibat pula sibuk mengambil gambar para pelajar yang menerima gelaran tokoh dan anugerah. Begitu galak keadaan para pelajar apabila para guru sibuk mengatur kedudukan pelajar agar gambar mereka semua kelihatan menawan (sangat).

Anugerah dan hadiah yang saya dapat pada hari graduasi

Akhir sekali, para hadirin, guru dan pelajar dibenarkan pulang. Ada yang gembira kerana berjaya membawa pulang satu ataupun lebih anugerah. Saya juga sama kerana telah mendapat hadiah 8A dalam UPKK 2014, anugerah kecemerlangan kokurikulum (Spell It Right Challenge) dan anugerah terbaik mata pelajaran (Pendidikan Agama Islam). ^_^

Tatkala itu juga, saya rasa, hampir semua pelajar tahun enam berasa sedikit sebak kerana mereka akan meninggalkan zaman persekolahan rendah lebih kurang dua minggu lagi dari tarikh itu. Maklum sahaja, sudah enam bersekolah bersama sehingga telah pun menimbulkan perasaan sayang kepada mereka. Kalau boleh, rasa tidak mahu sahaja tinggalkan sekolah. :'(

Apapun, saya mahu ucapkan selamat berjaya kepada para calon SPM 2015, ya. Saya juga mahu doakan yang terbaik kepada para pelajar tahun enam yang akan menerima keputusan UPSR mereka secara rasmi pada 17 November 2015 (Selasa) nanti. Hmm... kurang daripada seminggu sahaja lagi. Itu buatkan saya yang juga merupakan pelajar tahun enam turut berdebar. >_<

Walau bagaimanapun, semoga anda semua akan mendapat yang terbaik berdasarkan usaha yang pernah dicurahkan. ;)

Salam graduasi,